Bursa Malaysia naik 3.97 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini berikutan indeks utamanya berakhir tinggi susulan sokongan belian dalam kalangan saham wajaran tinggi, diterajui oleh Press Metal manakala pasaran lebih luas menunjukkan trend negatif.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.97 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,559.68 daripada 1,555.71 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras pasaran itu dibuka tinggi 0.45 mata kepada 1,556.16, dan berlegar turun naik antara 1,556.16 dan 1,563.47 sepanjang sesi hari ini.

Press Metal naik 17 sen kepada RM4.88 dengan 10.09 juta saham bertukar tangan, meningkatkan indeks komposit sebanyak 2.525 mata.

Bagaimanapun, pasaran lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 657 berbanding 344, manakala 441 kaunter tidak berubah, 787 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 5.41 bilion unit bernilai RM2.56 bilion hari ini, daripada 5.21 bilion unit bernilai RM3.03 bilion semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata FBM KLCI ditutup tinggi 0.3 peratus berikutan pelabur melabur dalam aset yang mencatatkan penurunan selepas kemerosotan dilihat pada hari sebelumnya.

Kenaikan harian di Bursa juga sejajar dengan peningkatan dalam pasaran serantau lain seperti Filipina, Jepun, Hong Kong, Jakarta dan Taiwan.

“Keyakinan secara keseluruhan dalam pasaran adalah berikutan langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menerima perjanjian mengenai infrastruktur dengan sekumpulan senator bipartisan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Didapati kenaikan di FBM KLCI disumbangkan oleh kaunter minyak dan gas seperti Petronas Dagangan dan Dialog, masing-masing ditutup tinggi 3.5 peratus dan 1.1 peratus hari ini berikutan harga minyak mentah Brent berada sekitar US$75 setong,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.19, Tenaga naik tiga sen kepada RM9.90, IHH meningkat empat sen kepada RM5.65 manakala PetChem tidak berubah pada RM8.00.

Maybank dan CIMB, masing-masing susut satu sen kepada RM8.19 dan RM4.69.

Daripada saham aktif, MMAG merosot dua sen kepada 14.5 sen, Serba Dinamik berkurangan 12.5 sen kepada 41 sen, Sanichi susut 1.5 sen kepada empat sen, Focus Dynamics naik setengah sen kepada 4.5 sen manakala KNM tidak berubah pada 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.76 mata kepada 11,877.8, Indeks FBMT 100 menambah 12.31 mata kepada 11,045.1 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 18.14 mata kepada 12,385.76.

FBM ACE jatuh 132.52 mata kepada 7,221.8 dan FBM 70 berkurangan 45.45 mata kepada 14,619.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.8 mata kepada 15,279.71 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.84 mata kepada 187.98 dan Indeks Perladangan naik 5.33 mata kepada 6,522.4.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 3.05 bilion saham bernilai RM2.13 bilion daripada 3.37 bilion saham bernilai RM2.62 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 249.59 juta unit bernilai RM24.79 juta daripada 297.64 juta unit bernilai RM26.64 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 2.11 bilion saham bernilai RM408.49 juta daripada 1.53 bilion saham bernilai RM374.56 juta sebelum ini.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 483.29 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (730.72 bilion), pembinaan (98.62 juta), teknologi (341.56 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.99 juta), hartanah (240.91 juta), perladangan (21.13 juta), REIT (4.67 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (834.88 juta), penjagaan kesihatan (54.55 juta), telekomunikasi dan media (109.39 juta), pengangkutan dan logistik (57.0 juta) dan utiliti (16.66 juta).

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd