harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) melakukan pendaratan di kawasan lapang berhampiran Perumahan Sri Pertiwi, Kidurong, Bintulu, Sarawak, hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata juruterbang helikopter berkenaan melakukan pendaratan kira-kira jam 2.16 petang.
“Saya sahkan pesawat berkenaan membuat pendaratan precautionary (langkah berjaga-jaga) dan juruterbang tidak mengisytiharkan sebarang kecemasan.
“Keseluruhan seramai dua penumpang serta seorang juruterbang dilaporkan dalam keadaan selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan helikopter FDS itu didakwa mendarat di kawasan lapang berhampiran Perumahan Sri Pertiwi, Kidurong.
Kejadian itu mendapat perhatian selepas video berdurasi 51 saat memaparkan helikopter berkenaan mendarat di kawasan lapang berhampiran perumahan terbabit tular di media sosial.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak, sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat berhubung kejadian berkenaan.
Untuk rekod, pendaratan sebagai langkah berjaga-jaga (precautionary landing) dilakukan juruterbang sebagai tindakan pencegahan awal sebelum pesawat mengalami masalah teknikal yang lebih serius.
© New Straits Times Press (M) Bhd




