Kerajaan setuju anjur satu lagi temasya sukan kebangsaan

Kerajaan setuju anjur satu lagi temasya sukan kebangsaan

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju dengan cadangan satu lagi penganjuran temasya sukan kebangsaan, sebagai platform pertandingan bagi merapatkan jurang pembangunan atlet selepas Sukan Malaysia (SUKMA) yang tertumpu kepada atlet bawah 21 tahun.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) keenam Bilangan 1 Tahun 2026, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Menurut KBS, mesyuarat berkenaan turut bersetuju dengan pelaksanaan Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MyTP) bagi membentuk laluan pembangunan bakat yang lebih terancang, bersepadu dan berterusan.

“Mesyuarat mengambil maklum status Program Pembangunan Bakat bagi Lapan Disiplin Bukan Sukan Teras dan pelaporan pelaksanaan Program Badan Beruniform, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas peluang penyertaan dan pembangunan bakat,” menurut KBS dalam kenyataan hari ini.

Bagi perkembangan sukan permotoran, KBS memaklumkan mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelaksanaan dan potensi kerjasama penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Sepang yang masih di peringkat perancangan.

JKPS turut memberi perhatian kepada perkembangan atlet sukan elektronik (e-sukan) dengan memperkukuh pembangunan bakat, latihan dan peluang penyertaan kejohanan agar atlet berkenaan dapat berkembang secara tersusun dan berdaya saing.

Selain itu, turut dibincangkan ialah cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menilai semula hala tuju serta model penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) yang memberi fokus kepada aspek tadbir urus, pembiayaan, keberkesanan penganjuran, penglibatan rakan strategik serta impak ekonomi dan pelancongan.

Pada masa sama, JKPS turut memberi perhatian kepada cadangan penetapan 20 jenis sukan teras sebagai langkah strategik memperkukuh hala tuju pembangunan sukan negara secara lebih berfokus dan berimpak tinggi.

Menurut KBS, langkah itu bertujua memastikan perancangan pembangunan atlet, pengenalpastian bakat, penyediaan kemudahan, pembangunan kejurulatihan serta pengagihan sumber dapat dilaksanakan secara lebih sistematik berdasarkan potensi dan keutamaan sukan negara.

Sementara itu, bagi memastikan penyertaan murid dalam sukan tempur, mesyuarat turut membincangkan keperluan mengklasifikasikan disiplin sukan tempur di sekolah.

“Aspek umur dan perkembangan fizikal murid, kelayakan jurulatih, peraturan pertandingan serta pengurusan risiko kecederaan diberi perhatian utama,” menurut kenyataan itu.

KBS memaklumkan mesyuarat JKPS turut meneliti penyelarasan pembangunan sukan olahraga dan renang dalam ekosistem Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menumpukan kepada kesinambungan bakat dari sekolah ke institusi pendidikan tinggi dan seterusnya ke peringkat kebangsaan.

“Ia termasuk aspek latihan, kemudahan, kejurulatihan dan pertandingan melalui kerjasama KPT, KBS serta badan sukan berkaitan.

“Mesyuarat turut membangkitkan keperluan menilai semula kadar hadiah kemenangan dan ganjaran atlet, termasuk pertimbangan insentif tambahan kepada atlet yang meraih kejayaan di peringkat antarabangsa. Pendekatan ini penting untuk mengiktiraf pencapaian, meningkatkan motivasi dan menyokong kebajikan atlet negara,” menurut kenyataan itu lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top