georgie@hmetro.com.my
TUMPUAN pengikut industri muzik tempatan kala ini tentu tertancap kepada muzik video (MV) lagu baharu Misha Omar berjudul IDLYA, yang disifatkan bagai berada di tahap lain.
Pencapaian itu bagai sebuah evolusi signifikan bukan saja buat Misha secara peribadi, tetapi juga kepada seluruh industri hiburan Malaysia.
Bagi pemilik nama penuh Samiha Omar, 44, tidak terlintas di benaknya akan keluar daripada ‘zon selesa’ selama ini, bukan kerana mustahil tapi dia sendiri yang mencipta had dalam dirinya.
Justeru, keputusan besarnya untuk membuat percaturan amat berbaloi apabila MV yang dirakam di China di bawah arahan Chuan Looi menjadi penanda aras baharu dalam kerjaya seninya.
“Sebenarnya pada awal saya sangat membangkang idea ini kerana saya rasa teman rapat, malah pengurus saya sendiri, label, Sony Music Malaysia pun sedar saya tidak suka ‘travel’.
“Saya tak suka naik kapal terbang banyak dan lama. Tapi sewaktu perbincangan, hanya saya seorang yang membangkang idea itu. Kalau boleh, saya nak buat MV itu di sini (Malaysia) sahaja. Saya nakkan keselesaan itu.
“Tapi selepas era Bunga-Bunga Cinta, lagu seterusnya tiada MV dan mereka pujuk saya keluar zon selesa. Saya ambil suara majoriti dan cabar diri meskipun dalam hati masih rasa tersentak,” katanya.
Menjayakan MV IDLYA menuntut tekanan yang tinggi buat keseluruhan produksinya kerana perlu berpindah-randah di tiga lokasi sekitar sempadan China dan Kazakhstan dengan keadaan suhu sejuk melampau.
Ia bukan sesuatu yang mudah dan Misha berdepan cabaran berat kerana busananya tidak tebal, berlari atas ais, mengusap air sungai dingin, dan menunggu serta melakukan ulangan penggambaran demi hasil terbaik.
Baginya, berkelana jauh ke luar negara dan berada lokasi indah, tidak sekelumit dalam dirinya mahu menghampakan mereka. Dia pegang teguh amanah diberikan kerana akhirnya, dia adalah ‘frontman’ projek itu.
“Segala-galanya terpulang kepada saya kan. Chuan sendiri yang sudah redah pergi tempat itu, empat hari sebelum saya sampai. Jadi saya kata, saya tak nak hampakan usaha semua orang.
“Saya tak nak keterbatasan saya, “tak boleh buat itu, tak boleh buat ini”, nanti muzik videonya jadi bosankan. Jadi sia-sia saja kita terbang banyak kali. Sebab saya kena terbang dari KL ke Chengdu, Chengdu ke Yining.
“Saya kena buat bagus-bagus, susah senang lalui bersama. Jadi ia ‘fair and square’, dalam ketidakselesaan itu, kami masih bermain dan masih merasakan keseronokan itu dalam bekerja,” katanya.
Sebagai insan seni yang sudah berdekad menerima cinta dan kasih sayang daripada peminat, Misha berkata, IDLYA hasil sentuhan komposer hebat Indonesia iaitu Melly Goeslow dan Tohpati adalah hadiah terbaik untuk kembara seni dilalui.
Katanya, ia bagaikan rezeki tertangguh kerana sepanjang perjalanan itu, ada keinginan besarnya tidak tercapai, kerjaya mendatar dan terlalu terperangkap dalam zon selesanya.
“Saya temui jawapan, peluang itu sebenarnya adalah peluang-peluang kecil yang saya tak sia-siakan. Macam daripada lagu Masihkah Ada Rasa Itu? sebenarnya tak ada dalam diari seni saya.
“Bila saya toleh semula, saya faham kenapa saya rakamkan lagu itu. Akhirnya kerana lagu-lagu itu mengikat kembali kasih sayang, saya berjaya mengumpulkan peminat-peminat dari generasi baharu.
“Pada masa sama, ia mengingatkan mereka bahawa ‘I am still around’ untuk mereka yang sudah tahu saya jadi penyanyikan. Jadi macam, ini adalah hadiah untuk mereka jugalah,” katanya.
Misha tidak pernah terlepas berada di persimpangan dilema jika dunia nyanyian masih relevan buat dirinya. Fasa itu pernah menghantui dirinya juga timbul pelbagai jenis persoalan.
Namun, katanya, ketika berdepan kekalutan hidup, dia perlu meraih kekuatan semula dan terus percaya keberadaan di tahap sekarang adalah berkat kekuatan yang tak pernah padam.
“Saya sentiasa berpesan kepada penonton, kawan-kawan, apa juga yang mereka hadapi, tempuhi, saya pun berdepan hal sama. Ia bukan kerana orang lain, sebaliknya kerana diri sendiri.
“Ada satu tahap dalam hidup, saya terfikir orang tidak mahu mendengar nyanyian saya sudah. Dengan fizikal dan suara berubah, Allah bagi cabaran untuk saya ‘reset’, cari balik semangat, dan kembali latih diri,” katanya.
Misha juga tidak mampu membohongi dirinya terhadap pendapat orang lain mengenai dirinya, malah mengiyakan komen-komen yang betul dan realistik mengenainya.
Cumanya, dia mengubah cara pandangannya terhadap hal-hal begitu kepada pemikiran positif. Daripada situ, Misha mengumpul semula dan mencantum segala kekuatan yang harus dijadikan bekalan penting untuk terus maju.
“Semestinya pada ketika itu, saya reda orang sudah tak nak dengar saya. Tak boleh bohong pada diri sendiri bila baca komen-komen begitu tapi pada masa sama, saya syukur masih ada yang suka sebenarnya.
“Bagi saya itu satu pencapaian, selain pencapaian lain yang saya cipta sebelumnya. Saya percaya dan lebih fokus kepada mereka yang menyayangi saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




