Cabaran baharu beraksi petang

Cabaran baharu beraksi petang

Rizal – Foto Agensi (Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.)

PERUBAHAN kalendar Liga Malaysia (Liga-M) musim ini termasuk beraksi pada sebelah petang menjadi cabaran baharu buat pasukan dan pemain untuk meningkatkan kualiti permainan ke tahap tertinggi.

Penganalisis sukan, Rizal Hashim berkata, cuma menjadi persoalan dalam kalangan peminat sama ada pemain mampu mengekalkan kualiti permainan atas faktor cuaca berbanding sebelum ini sudah biasa beraksi pada waktu malam.

“Cumanya apakah kualiti permainan pada ketika cuaca petang dapat dikekalkan berbanding waktu malam.

“Jika ikut telahan bekas jurulatih skuad kebangsaan Bertalan Bicskei cuaca petang akan mempengaruhi standard permainan. Kita tunggu dan lihat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Justeru enggan membuat andaian terlalu awal, Rizal mengajak peminat untuk memberi peluang kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan perubahan jadual perlawanan demi kemajuan bola sepak negara.

“Apa pun kita beri peluang kepada pemain untuk beri yang terbaik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam pada Khamis mengumumkan waktu sepak mula baharu buat Liga-M 2023.

Ia akan melibatkan waktu sepak mula pada jam 5.30 atau 5.15 petang di semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak pada jam 4.30 atau 4.45 petang.

Perlawanan lain akan bermula pada jam 8.15 malam dan 9 malam manakala pada bulan Ramadan akan dimulakan jam 10 malam.

Untuk Sabah dan Sarawak pula sepak mula perlawanan pada jam 8.30 malam dan 8.15 malam, manakala ketika bulan Ramadan akan bermula pada jam 9.15 malam.

Rizal juga percaya perubahan waktu sepak mula tersebut mampu melonjakkan jualan tiket selain menggalakkan penyertaan penonton dalam kalangan penyokong yang sudah berkeluarga.

“Saya percaya MFL sudah melakukan tinjauan sebelum mengambil keputusan ini. Secara pukul rata, kutipan tiket tidak begitu memberangsangkan apabila sepak mula diadakan waktu malam.

“Jadi tidak salah andai MFL sebagai pengendali liga mahu menggalakkan budaya keluarga untuk menonton sebelah petang dan boleh balik lebih awal.

“Ambil contoh jadual perlawanan waktu petang ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi dalam Liga Juara juara Asia AFC tahun lalu,” katanya.