rencana@hmetro.com.my
Sebenarnya aktiviti mendaki gunung tidak berada dalam senarai perancangan pengembaraan solo penulis selama dua bulan di Indonesia.
Perancangan itu bagaimanapun berubah, selepas penulis diajak rakan dari Indonesia untuk menyertai ekspedisi mendaki Buntu Sikolong.
Pada mulanya, penulis enggan menyertai ekspedisi ini kerana tidak membuat persiapan lengkap daripada segi fizikal, mental dan peralatan mendaki, sedangkan pasukan ini sudah pun membuat persiapan enam bulan awal.
Bagaimanapun, selepas diajak berulang kali dan dipujuk pasukan, penulis bersetuju untuk menyertai ekspedisi itu.
Berbekalkan sepasang kasut sukan, penulis bersetuju untuk menyertai ekspedisi Buntu Sikolong ini di mana semua pasukan pendaki itu adalah warga Indonesia.
Pakaian dan peralatan keperluan ekspedisi ini pula, penulis terpaksa pinjam daripada kenalan Indonesia termasuk baju, seluar, topi dan sebagainya.
Buntu Sikolong ini antara puncak dalam rangkaian Pergunungan Latimojong di Sulawesi Selatan yang memiliki ketinggian 2,830 meter daripada paras laut.
Terdapat tujuh puncak yang paling popular bagi pendaki Mapala (Mahasiswa Pencinta Alam) termasuk Sinaji, Buntu Sikolong, Rante Kambola, Rante Mario, Nene Mori, Bajaja dan Latimojong.
Antara kesukaran menawan Buntu Sikolong adalah terdapat batu besar yang menyukarkan pendaki ke puncak gunung ini.
Pendaki bukan sahaja perlu menyediakan peralatan mendaki bahkan perlu membawa alat memanjat tebing seperti abah-abah, tali, ‘carabiner,’ topi keselamatan, ‘belay device,’ kasut mendaki dan sarung tangan.
Penulis difahamkan, pada tahun 2017 ada pasukan lain yang cuba melakukan ekspedisi menawan puncak Buntu Sikolong, namun gagal selepas mereka tersesat di dalam hutan selama lapan hari.
Perjalanan kami bermula dari Gowa dengan menaiki kereta selama sembilan jam menuju ke Uluway Toraja.
Sebaik di Uluway Toraja, kami menginap di sebuah rumah penduduk setempat yang boleh dikatakan sebagai ‘base camp.’ Di situlah tempat kami menginap dan membuat persiapan terakhir sebelum pendakian dimulakan.
Perjalanan ekspedisi Buntu Sikolong mengambil masa lima hari bermula 25 Oktober 2024 dengan perlu menempuh pelbagai cabaran yang akan menguji kekuatan fizikal dan mental pendaki.
Antara cabaran paling utama yang terpaksa dihadapi adalah membawa peralatan mendaki yang sangat berat seperti tali mendaki, abah-abah, carabiner dan topi keselamatan. Setiap langkah di laluan curam Latimojong terasa dua kali ganda lebih berat apabila perlu memikul barang mendaki yang sangat berat di dalam beg.
Cabaran lain adalah sumber air yang terhad sehingga pasukan perlu mencatu dan membahagikan logistik air secara sistematik supaya keperluan itu cukup untuk semua.
Pasukan perlu belajar kemahiran mandiri dengan mencari sumber air di dalam kayu dan sebagainya. Selain itu, kami turut berdepan cabaran memanjat tebing di ketinggian 2,000 meter ke atas dalam cuaca yang sejuk.
Ditambah pula dengan trek hutan yang jarang dilalui menyebabkan pasukan bahagian hadapan perlu membawa parang untuk menebas dan membuka jalur baru.
Selepas menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, semua pendaki berjaya sampai di puncak Buntu Sikolong pada jam 2.30 petang, 28 Oktober 2024.
Ketika penulis menjejakkan kaki di puncak Buntu Sikolong, dada terasa penuh, bukan dengan nafas, tapi rasa syukur.
Segala sakit bahu, lenguh kaki dan beban yang dipikul seperti hilang dibawa angin gunung. Ketibaan penulis disambut dengan tepukan gemuruh dan ucapan tahniah daripada pasukan yang sudah sampai di puncak.
Ayat yang penulis paling ingat adalah ‘Tahniah, anda adalah warganegara Malaysia pertama merangkap wanita pertama yang berjaya sampai di puncak Buntu Sikolong ini.’
Pada ketika itu, hati terasa gembira dengan kemampuan diri sendiri membawa beban beg yang berat dan tanpa latihan khusus, penulis berjaya menawan puncak Buntu Sikolong.
Selepas berjaya menawan puncak Buntu Sikolong, penulis sangkakan segalanya sudah berakhir. Sebaliknya ketika dalam perjalanan turun ke tapak perkhemahan, penulis bersama seorang lagi peserta dikenali Ihsan terpisah dengan pasukan yang di hadapan dan tidak menemui tanda riben berwarna oren di pokok yang menyebabkan kami tersasar dari laluan sebenar.
Ihsan yang cepat menyedari laluan yang agak lain menyuruh untuk berhenti dan berpatah balik untuk mencari laluan yang betul. Kira-kira sekitar 30 minit juga kami tersesat dan menahan perit kesejukan angin malam sebelum jumpa dengan laluan yang betul.
Secara peribadi, bagi penulis pengajaran daripada ekspedisi Buntu Sikolong ini sangat mendalam, bukan hanya dari sudut fizikal, tapi juga mental dan spiritual.
Bagi mereka yang berminat ke puncak Buntu Sikolong ini perlu sedar bahawa gunung ini bukan tempat untuk cuba-cuba.
Buntu Sikolong bukan sekadar mendaki, ia satu ekspedisi yang memerlukan fizikal dan mental perlu benar-benar bersedia. Latih diri sebelum mendaki, contohnya latihan angkat beg 15 hingga 20 kilogram, naik tangga, latihan kardio dan sebagainya.
Persiapan mental lebih dari fizikal, kerana apabila mental kita kuat, kaki pasti akan ikut. Puncak ini bukan mengenai siapa yang sampai dulu, tapi mengenai siapa yang tidak berhenti.
© New Straits Times Press (M) Bhd