'Jika vape diharamkan, pastikan juga rokok…' – NGO

'Jika vape diharamkan, pastikan juga rokok…' – NGO

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan pengharaman produk rokok elektronik atau vape secara menyeluruh dibimbangi mengundang kesan lebih buruk termasuk kemunculan pasaran gelap vape dan peningkatan semula tabiat merokok.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, walaupun pengharaman vape dilihat langkah baik dari sudut kawalan, pelaksanaannya wajar selari dengan ketegasan terhadap penjualan rokok.

“Kita perlu realistik, ramai perokok tegar berhenti merokok sebab beralih kepada vape. Kalau vape diharamkan sepenuhnya, tak mustahil mereka kembali merokok.

“Saya juga tidak menafikan penjualan vape pada hari ini memang tidak terkawal, malah ada pihak yang sanggup mencampur bahan terlarang dalam cecairnya demi keuntungan.

“Tapi itu bukan alasan untuk haramkan sebelah pihak saja. Kalau kerajaan serius mahu melindungi rakyat, rokok pun kena haramkan kerana dua-duanya berbahaya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, isu ini seolah-olah memperlihatkan kekeliruan dasar apabila vape ditekan habis-habisan, tetapi rokok masih bebas dijual, bahkan mudah didapati termasuk rokok seludup.

“Fatwa sudah sebut kedua-duanya haram, tapi kenapa penjualan vape saja yang mahu dihentikan? Rokok tak disentuh pun. Di mana logiknya?

“Kalau vape diharamkan, pastikan juga rokok tidak terus berleluasa. Baru orang nampak kerajaan serius dan adil dalam membuat keputusan,” katanya.

Katanya, kesedaran masyarakat memang penting, namun tanggungjawab lebih besar terletak pada kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang konsisten dari segi undang-undang dan pelaksanaan.

“Jika kerajaan benar-benar mahu berpandukan agama dan kesihatan rakyat, tiada pilihan lain selain mengharamkan produk rokok dan vape secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, cadangan mengharamkan penjualan vape boleh dilaksanakan, namun kerajaan perlu memastikan langkah itu benar-benar menyelesaikan akar masalah.

Untuk rekod, kerajaan negeri Kelantan mengharamkan penjualan vape sejak 2015, diikuti Johor pada 2016, Terengganu dan Perlis (berkuat kuasa 1 Ogos ini), serta Kedah yang menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen mulai 2026.

Ketika ini, penjualan vape di Malaysia tertakluk kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dibentangkan dan diluluskan tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top