Cabaran Inovasi Swiss 2025, 250 kumpulan bakal tunjuk potensi

Cabaran Inovasi Swiss 2025, 250 kumpulan bakal tunjuk potensi

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cabaran Inovasi Swiss (SIC) 2025 anjuran DRB-HICOM University of Automative Malaysia berlangsung meriah apabila merekodkan penyertaan 250 kumpulan dari seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, peserta terdiri daripada universiti awam dan swasta, syarikat pemula dan inovator bebas.

Menurutnya, jumlah penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan ekosistem inovasi negara yang inklusif dan dipacu kreativiti rakyat.

“Ia menggerakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan memastikan daya saing global.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), inovasi akan kekal menjadi tonggak utama pembangunan inklusif dan lestari.

“Ini bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan sewaktu negara menyambut ekonomi masa hadapan,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala SIC 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini.

Turut hadir, Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP); Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Ekonomi akan terus menyokong inisiatif berimpak positif seperti SIC.

“Kita mesti mewujudkan pendekatan menyeluruh untuk inovasi di mana kerajaan, industri, akademia dan rakyat bergerak seiring ke arah visi bersama.

“Inilah cara kita akan meletakkan Malaysia bukan sahaja sebagai peserta, tetapi sebagai pemimpin global dalam inovasi dan teknologi,” katanya.

Sementara itu, Syed Faisal berkata, SIC bermula pada 2010 sebagai program antarabangsa yang diperkenalkan oleh University of Applied Sciences and Arts, Northwestern Switzerland (FHNW).

“Di Malaysia, SIC bermula pada 2017. Ia berkembang menjadi platform yang dinamik yang menghubungkan idea, bakat dan peluang merentasi Eropah dan ASEAN.

“Tahun ini, DRB-HICOM University of Automotive Malaysia diamanahkan untuk menjadi penganjur utama SIC Malaysia.

“Sudah tentu, ini satu penghormatan, tetapi ia juga tanggungjawab yang kami pikul kerana ia sejajar dengan visi DRB-HICOM untuk memupuk bakat selari kehendak industri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top