Cabaran kekalkan khidmat jurulatih elit tempatan

Cabaran kekalkan khidmat jurulatih elit tempatan

sukan@hmetro.com.my

Bangkok: Kempen Malaysia di Sukan Sea berakhir dengan pencapaian terbaik di luar laman sendiri namun di sebalik kejayaan itu, satu isu besar terus menghantui arena sukan negara iaitu kesukaran mengekalkan khidmat jurulatih elit tempatan yang kini semakin ‘laris’ di luar negara.

Perkara itu dibangkitkan secara terbuka pada sesi soal jawab pasca temasya apabila pegawai kanan sukan ditanya sama ada Malaysia berhasrat membawa pulang jurulatih tempatan yang kini mencipta kejayaan bersama negara lain.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nasir Ali mengakui faktor kewangan menjadi cabaran utama.

“Kita perlu faham, gaji jurulatih di luar negara jauh lebih tinggi. Jika Singapura menawarkan 5,000 (Singapura dolar) dan kita hanya mampu RM5,000, perbezaannya sangat ketara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin pula menegaskan Malaysia tidak ketandusan kepakaran kejurulatihan namun gagal bersaing dari segi kemampuan ekonomi.

“Kita tidak menafikan jurulatih Malaysia di luar negara adalah antara yang terbaik. Pada masa sama, jurulatih tempatan juga berkeupayaan membawa atlet ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Persiapan menghadapi Sukan Sea 2027 dijangka dipergiat bermula Januari depan, dengan MSN akan mengadakan pertemuan bersama persatuan sukan kebangsaan bagi memuktamadkan keperluan jurulatih, pelan pengambilan serta keutamaan peruntukan.

Jefri menegaskan keutamaan kekal pada keputusan dan pencapaian atlet.

“Apa yang penting, atlet mendapat persiapan terbaik. Sama ada daripada jurulatih tempatan atau asing, fokus kita adalah prestasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top