Cabul dalam masjid: Lelaki OKU akan dirujuk ke Hospital Bahagia

Cabul dalam masjid: Lelaki OKU akan dirujuk ke Hospital Bahagia

surayaroslan@mediaprima.com.my

Ampang: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran yang tular mencabul kanak-kanak di dalam masjid di Batang Kali, Hulu Selangor, akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk penilaian kesihatan mental.

Perkara itu dimohon pihak pembelaan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, supaya lelaki itu, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, menjalani kesihatan mental mengikut Seksyen 342(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam, Lingswaran Singh yang mewakili tertuduh memaklumkan permohonan itu dibuat berikutan anak guamnya tidak berupaya untuk membela diri.

“Sepanjang interaksi dengan tertuduh, makluman daripada ibunya, dan disokong dengan penilaian psikologi daripada sebuah universiti awam bertarikh 15 Julai 2022, tertuduh menunjukkan tingkah laku atau mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keraguan munasabah bahawa berkemungkinan besar mengalami masalah kewarasan dan tidak berupaya untuk membela diri.

“Permohonan di bawah Seksyen 342(1) supaya anak guam dirujuk ke hospital kerajaan untuk mendapatkan penilaian psikiatri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie berkata, semua dokumen berkaitan kes sudah diserahkan kepada pihak pembelaan kecuali laporan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan mangsa daripada Hospital Selayang.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Norshila Kamaruddin menetapkan 22 Julai untuk sebutan semula kes bagi laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh, laporan perubatan mangsa dan forensik kamera litar tertutup (CCTV).

Ketika ditemui di luar mahkamah, Lingswaran berkata, permohonan itu dibuat kerana pihaknya mahu mendapatkan penilaian sama ada tertuduh layak dibicarakan atau sebaliknya.

“Dia memang ada kad OKU, tapi jika mengikut bidang perubatan, seseorang yang mungkin dianggap tidak waras masih berkemungkinan layak menghadapi perbicaraan mengikut aspek perundangan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, keputusan hanya akan ditentukan oleh mahkamah selepas mendapat penilaian daripada pihak psikiatri.

Katanya, selepas itu barulah representasi boleh dibuat, sama ada untuk memohon pengguguran kes atau menukar seksyen pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun lapan bulan di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali pada 6.20 pagi, 21 Februari lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Sebelum ini, tertuduh menukar pengakuan tidak bersalah ketika prosiding kali kedua pada 27 Mac lalu pada sebutan semula kes di mahkamah sama yang mana pada pendakwaan pertama lelaki itu mengaku bersalah.

Bagaimanapun pemuda itu kekal ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam memandangkan ahli keluarganya tidak mampu membayar wang jaminan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menerima laporan pada 8.19 pagi berhubung kejadian itu yang turut tular dalam media sosial, sebelum suspek ditahan pada hari sama di sekitar Batang Kali.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid terbabit.

Dalam kejadian itu, tular rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat subuh.

Semakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati lelaki itu memiliki kad OKU masalah pembelajaran sejak kecil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top