Kuala Lumpur : Penganjuran program Cahaya Hati 1.0 : Bangkitlah Jiwa , Temui Cahaya Bahagia adalah sebagai salah satu usaha membantu wanita berdepan tekanan hidup, depresi dan kekosongan jiwa agar kembali menemui ketenangan.
Program anjuran One World Muslimah (OWM) diadakan di Matrade Hall Kuala Lumpur baru-baru ini padat dengan pengisian rohani dan pendekatan penuh keimanan.
Penganjur program merangkap Presiden OWM, Noor Razlina Noor Mohamed berkata, ia tercetus selepas melihat semakin ramai wanita kini berdepan cabaran emosi dan mental yang serius.
Menurutnya, ramai golongan wanita yang mendedahkan mereka berada dalam keadaan tertekan, kecewa dan hilang semangat.
“Justeru program ini diwujudkan untuk membantu mereka mencari ketenangan melalui ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Ada di antara mereka yang mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana untuk mereka mencari ilmu serta pengisian rohani. Oleh sebab itu, Cahaya Hati 1.0 ini antara program anjuran One World Muslimah yang membantu mereka,” ujarnya.
Mengenai program itu lagi, kata Noor Razlina ia turut diserikan dengan kehadiran aktres dan pendakwah tersohor Indonesia yang dibawa khas dari Mesir, Ustazah Dr Oki Setiana Dewi dan pasangan adik beradik, artis dan aktivis kemanusiaan antarabangsa Datin Heliza Helmi dan Hazwani Helmi atau dikenali sebagai The Helmis.
Tambahnya, pembabitan penceramah dan selebriti berpengaruh dalam program seperti ini juga dilihat mampu menarik minat lebih ramai wanita untuk hadir dan mendapatkan kekuatan rohani.
Lebih 1,000 peserta termasuk dari Singapura, Indonesia dan Brunei menyertai program ini.
Susulan sambutan menggalakkan, One World Muslimah merancang untuk meneruskan kesinambungan program itu melalui ‘Cahaya Hati 2.0’ pada Disember ini dan seterusnya membawa ‘Cahaya Hati 3.0’ ke Brunei sebagai langkah memperluas manfaat kepada komuniti Muslimah di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Oki berkongsi, dia terpanggil untuk bersama dalam program itu kerana merasakan majlis ilmu sebegini penting untuk mendidik dan menyembuhkan hati wanita.
“Saya datang bukan sekadar untuk menyampaikan ceramah, tetapi juga untuk bermuhasabah bersama. Kalau ada yang menangis ketika mendengar, mungkin itu tandanya Allah sedang menyapa hati mereka,” katanya.
Acara turut mendapat sokongan jenama fesyen Muslimah terkemuka Minaz.
Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza Abdul Hamid, yang turut dijemput sebagai penceramah pula berkata, komitmennya terhadap kesejahteraan holistik wanita melalui sokongan bukan hanya berbentuk penajaan dana, tetapi manifestasi komitmen jenama itu membina komuniti wanita yang bukan sahaja bergaya elegan, tetapi juga memiliki ketahanan emosi dan kekuatan spiritual.
Katanya, pihak Minaz percaya kecantikan sejati bermula dari dalam malah ia adalah refleksi jelas terhadap nilai teras jenama untuk bukan sahaja memperindahkan penampilan luaran, tetapi juga menyokong kekuatan dan ketenangan jiwa dalaman wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




