bhnews@bh.com.my
MERSING: Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini diwajibkan mengangkat sumpah supaya tidak akan melakukan salah guna kuasa dan rasuah.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengulangi iltizam, berkata bahawa sekiranya PN memenangi PRN Johor nanti, kerajaan negeri yang terbentuk akan bersih daripada amalan berkenaan.
“Siapa nak bertanding di PRN Johor ini , macam saya buat di Melaka, calon kita kena angkat sumpah, Waallahi Wabillahi Wataallahi.
“Saya buat di Melaka dan saya akan buat di Johor, maknanya calon PN nanti kita akan tentukan adalah calon yang bersih.
“Kalau kita bentuk kerajaan, Insya-Allah kita nak bentuk kerajaan yang bersih,” katanya pada Program Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, di Felda Tenggaroh 3 di sini, malam tadi.
Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Muar itu berkata, PN menyediakan platfom politik yang jauh lebih baik berbanding Barisan Nasional, khususnya dari segi integriti serta tegas dalam agenda antirasuah.
“Walaupun Johor pernah mencipta sejarah sebagai kubu kuat UMNO kerana lahir di Istana Besar Johor Bahru, kena ingat itu UMNO dahulu. Sekarang sudah koyak rabak.
“Nampak okey tetapi di dalam sudah penuh barah, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya,” katanya.
Muhyiddin turut mengulangi pendirian, tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
“Saya tak bertanding pasal saya nak tumpukan di pusat, manalah tahu kalau tuhan kata kun fayakun, saya balik semula jadi Perdana Menteri, kena tunggu PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd