Bantah gaji berlebihan ahli parlimen, penunjuk perasaan merusuh di Jakarta

Bantah gaji berlebihan ahli parlimen, penunjuk perasaan merusuh di Jakarta

Jakarta: Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang cuba menceroboh masuk bangunan parlimen Indonesia pada Isnin bagi membantah gaji dan elaun yang didakwa berlebihan untuk ahli parlimen, menurut saksi.

Beberapa penunjuk perasaan, yang berpakaian gelap, membaling batu dan melepaskan bunga api ke arah polis antirusuhan di Jakarta. Sekurang-kurangnya sebuah motosikal dibakar oleh penunjuk perasaan, namun pihak berkuasa tidak memberikan butiran kerosakan, sebarang kecederaan atau tangkapan.

Penunjuk perasaan berarak di jalan raya sekitar bangunan parlimen, menuntut pemotongan gaji ahli parlimen, menurut satu kenyataan media oleh Gejayan Memanggil, salah sebuah kumpulan penganjur protes yang dibentuk oleh pelajar di wilayah Yogyakarta.

Bulan ini, media tempatan melaporkan ahli parlimen dibayar lebih 100 juta rupiah (RM25,900) sebulan, termasuk elaun perumahan yang besar. Meskipun Indonesia adalah ekonomi terbesar di Asia Tenggara, bayaran itu jauh lebih tinggi berbanding pendapatan purata di negara kepulauan itu iaitu 3.1 juta rupiah (RM803).

Penunjuk perasaan turut membantah apa yang mereka istilahkan sebagai “golongan elit korup” dalam kerajaan dan dasar-dasar yang menguntungkan konglomerat serta tentera, jelas kenyataan media itu, yang dilihat merujuk kepada peranan tentera yang semakin berkembang dalam kehidupan awam di bawah Presiden Prabowo Subianto, seorang bekas jeneral.

Sebahagian mereka dilihat dalam rakaman televisyen membawa bendera dari siri manga Jepun “One Piece”, yang kini menjadi simbol bantahan terhadap dasar-dasar kerajaan di negara itu.

Jurucakap polis Jakarta, Ade Ary Syam Indradi memberitahu pemberita seramai 1,250 anggota polis dikerahkan bagi menjaga keselamatan di sekitar bangunan itu.

Speaker parlimen dan timbalan-timbalannya, serta jurucakap Prabowo, tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top