JAKARTA – Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum ini mengenai cadangan mengenakan cukai ke atas laluan kapal di Selat Melaka bersifat tidak serius dan tidak mencerminkan dasar kerajaan.
Beliau menegaskan Indonesia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengenakan levi terhadap kapal yang hanya melalui laluan strategik itu, sambil mengakui langkah tersebut bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“Saya tidak serius ketika itu. Kerajaan memang tidak pernah mempunyai rancangan seperti itu,” katanya kepada media di Jakarta baru-baru ini.
Kenyataan tersebut sebelum ini mencetuskan kebimbangan serantau, khususnya Malaysia yang turut berkongsi kawasan Selat Melaka, selain mencetuskan perbincangan mengenai implikasi undang-undang maritim antarabangsa.
Purbaya turut merujuk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) yang memberi jaminan kebebasan pelayaran dan tidak membenarkan negara mengenakan caj ke atas kapal hanya kerana melintasi sesuatu laluan.
Sebagai negara penandatangan UNCLOS, Indonesia katanya menghormati prinsip kebebasan navigasi dan telah meratifikasi perjanjian tersebut.
“Kami menyokong kebebasan pelayaran. Kita tidak boleh bertindak seperti ‘gengster’ yang meminta bayaran hanya kerana kapal lalu,” tegas beliau.
Sebaliknya, Purbaya menyatakan Indonesia boleh memberi tumpuan kepada potensi penjanaan hasil melalui perkhidmatan maritim yang sah seperti pelabuhan, bekalan bahan api dan kemudahan perkapalan di Selat Sunda dan Selat Lombok, yang merupakan laluan alternatif kepada Selat Melaka bagi kapal bersaiz besar.
Menurut beliau, banyak kapal ketika ini memilih Singapura sebagai pusat pengisian bahan api utama, sekali gus membuka ruang kepada Indonesia untuk memperkukuh kemudahan di perairannya sendiri.
Susulan kontroversi itu, Menteri Luar Indonesia Sugiono turut menjelaskan bahawa Indonesia komited terhadap undang-undang antarabangsa dan tidak akan mengenakan sebarang tol atau sekatan ke atas laluan perkapalan antarabangsa.
Pakar diplomasi Indonesia, termasuk bekas Timbalan Menteri Luar Dino Patti Djalal, turut mengingatkan bahawa sebarang cadangan mengenakan caj di Selat Melaka boleh menjejaskan kredibiliti Indonesia sebagai penyokong utama Konvensyen Undang-Undang Laut, selain berpotensi mengganggu hubungan serantau menjelang sidang ASEAN akan datang.- Agensi



