puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Natasha Hudson, 44, berkongsi khabar gembira apabila selamat melahirkan cahaya mata lelaki, semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram, Natasha atau nama sebenar Natasha Liana Mohd Redzuan bersyukur tidak terhingga apabila melahirkan cahaya mata kelima seberat 3.2 kilogram (kg).
“Alhamdulillah. Hari ini (semalam) pada jam 1.15 petang, kami menyambut kelahiran bayi lelaki pertama kami ke dunia dengan berat 3.2 kg.
“Selepas empat cahaya mata perempuan, kehadirannya membawa makna yang sangat besar buat kami,” tulisnya.
Mengulas mengenai pengalamannya melahirkan cahaya mata lelakinya, pelakon filem Chermin itu menyifatkan proses kelahiran kali ini berjalan dengan lancar serta tenang.
“Proses melahirkan juga berjalan dengan sangat lancar. Saya rasa bersyukur atas pengalaman ini. Satu rahmat yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata, hadiah terindah daripada Allah buat keluarga kami,” tulisnya lagi.
Dalam hantaran yang sama, Natasha turut menzahirkan penghargaan kepada doktor yang sentiasa memberikan sokongan dan pemantauan sejak hari pertama kehamilannya.
Menjengah ke dalam ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti mengucapkan tahniah atas kelahiran cahaya mata kelimanya itu.
Untuk rekod, Natasha dan Jay Jasmin sah bergelar suami isteri pada 28 Mac 2022.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Kaia.
Menerus perkahwinan terdahulu, Natasha memiliki tiga anak perempuan iaitu Neesa Helena, Naeema Kalila dan Faatimah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




