Malaysia pada kedudukan strategik manfaat pengalihan laluan Selat Hormuz – Pakar

Malaysia pada kedudukan strategik manfaat pengalihan laluan Selat Hormuz – Pakar

Kuala Lumpur: Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menyerap peningkatan aliran perdagangan yang dialihkan melalui Selat Melaka, sekiranya pengendali perkapalan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan ketegangan di Selat Hormuz yang terjejas konflik.

Kelebihan ini dipacu oleh kekuatan geostrategik Malaysia sebagai hab rantaian bekalan serantau, menurut Prof Dr Nor Aida Abdul Rahman dari Universiti Kuala Lumpur.

“Namun, ia hanya menjadi kelebihan komersial sebenar apabila disokong oleh kecekapan operasi,” katanya kepada Bernama ketika mengulas kesan konflik Asia Barat terhadap industri rantaian bekalan negara.

Nor Aida yang juga Profesor Rantaian Bekalan dan Strategi/Pengurusan Penerbangan universiti berkenaan berkata, Pelan Induk Logistik dan Pemudahcaraan Perdagangan Kementerian Pengangkutan secara jelas meletakkan Malaysia sebagai “Gerbang Logistik Pilihan ke Asia”.

Menurutnya, kedudukan geografi itu perlu diterjemahkan kepada produktiviti lebih tinggi, kebolehpercayaan sistem serta pemudahcaraan perdagangan yang berkesan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya kedudukan strategik di sepanjang selat bagi merealisasikan potensi sebagai hab rantaian bekalan serantau.

“Bagi memperkukuh kedudukan ini, Malaysia boleh terus menambah baik masa pusing ganti pelabuhan, melancarkan proses kastam serta memperkukuh integrasi antara zon perindustrian dan rangkaian logistik daratan.

“Jumlah rekod kontena yang dikendalikan oleh Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas menunjukkan Malaysia sudah mempunyai asas kapasiti yang kukuh serta kerelevanan dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata, insentif seperti skim Kompleks Logistik Pintar oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut menyokong pelaburan dalam pembangunan infrastruktur logistik yang lebih pintar dan cekap.

Selain berfungsi sebagai lokasi transit, Nor Aida berkata, Malaysia berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pengedaran serantau, pusat pemenuhan (fulfilment centre) serta pangkalan logistik bernilai tambah.

Dengan kelebihan sedia ada, beliau berkata, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menyerap sebahagian pengalihan aliran perdagangan global, susulan kesiapsiagaan infrastruktur pelabuhan dan logistik negara.

Namun begitu, beliau menegaskan kelebihan itu perlu disokong oleh penambahbaikan berterusan merangkumi keseluruhan ekosistem logistik.

Antara aspek utama ialah integrasi digital, penyelarasan lebih kukuh antara pelabuhan dan kawasan hinterland serta pengurangan tempoh pemprosesan bagi memastikan kapasiti fizikal dapat diterjemahkan kepada keupayaan operasi yang sebenar.

Beliau berkata, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas terus mencatat jumlah kontena yang tinggi, manakala data rasmi Lembaga Pelabuhan Klang menunjukkan kapasiti terminal serta kemudahan sokongan yang kukuh bagi operasi kontena.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top