suzalina@bh.com.my
KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah masuk minggu kedua. Kini berbaki enam hari lagi, sebelum hari mengundi pada 12 Mac ini, calon bertanding, terutama muka baharu daripada semua parti tidak mengambil mudah peluang mempromosikan diri kepada pengundi.
Bermula kempen rumah ke rumah dan penggunaan media sosial, jelas sekali setiap calon memanfaatkan semua peluang yang ada untuk mendekati dan memancing undi.
Jika diukur dari aspek kemeriahan berkempen khususnya ‘perang’ bendera dan poster, PRN Johor dilihat seolah-olah menyaksikan pertembungan antara dua blok parti sahaja, Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).
Hakikatnya, semua calon sama ada daripada BN, PN, Pakatan Harapan (PH) atau Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Warisan (WARISAN), masing-masing tidak beri muka antara satu sama lain.
Berdasarkan pemerhatian, kelebihan yang ada pada parti tertentu, terutama yang menjadi kerajaan, soal bajet tidak menjadi masalah. Namun, ia dilihat tidak mematahkan semangat calon parti baharu khususnya golongan muda terus berjuang di medan perang demokrasi.
Namun, menyedari ‘wajah’ mereka mungkin belum cukup kuat untuk menarik undi, calon muka baharu banyak ‘menjual’ populariti pengerusi dan presiden parti sepanjang berkempen khususnya bagi parti baharu ditubuhkan barisan pemimpin ini.
Jelas sekali, calon BERSATU dan MUDA antara yang ‘bergantung’ kepada pengaruh nama presiden mereka, yang diketahui masing-masing adalah Ahli Parlimen di Johor.
Bagi PN, calon muda mengambil kesempatan mendekati pengundi dengan memperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin PN dan bukannya BN lagi.
Begitu juga dengan calon PEJUANG yang berkempen dengan mempromosikan sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Calon MUDA tidak ketinggalan mengambil kesempatan memperkenalkan diri sebagai ‘anak didik’ Syed Saddiq Abd Rahman, yang presiden parti itu dilihat sebagai ikon orang muda.
Justeru, pertembungan dalam PRN kali ini lebih menjurus kepada menonjolkan kepada pengundi pemimpin mana lebih bertakhta di hati pengundi berbanding calon sendiri.
Ia menjadi suasana dan sejarah baharu dalam rekod pilihan raya negara kerana calon lebih banyak mempromosikan pemimpin atasan berbanding menjelaskan agenda serta wawasan mereka kepada pengundi.
Bagi calon BN pula, strategi kempen mereka dilihat lebih tersusun dan terarah. Mungkin disebabkan BN memiliki pengalaman, di samping kelebihan dari segi jentera kempen pada peringkat akar umbi.
Namun, BN belum boleh mendabik dada kerana faktor pengundi muda masih menjadi igauan ngeri kerana ia tetap menjadi penentu utama kepada keputusan PRN Johor nanti.
Dalam konteks lain, walaupun Johor pernah menjadi kubu kuat UMNO dan ‘simpanan tetap’ BN, sehingga saat ini masih sukar meramal blok parti mana dijangka mampu memperoleh majoriti mudah.
Apatah lagi dengan kehadiran Undi 18 dan pengundi automatik pada PRN Johor kali ini, arah tuju pilihan parti mana yang mereka mahu mewakili pengundi muda mereka masih menjadi tanda tanya.
Peranan pengundi muda amat signifikan yang sering digambarkan sebagai golongan mampu mengubah pentadbiran selepas 70 tahun UMNO dan BN memerintah negara.
Dengan penambahan hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun atau mewakili peningkatan hampir 30 peratus pada PRN Johor, pastinya satu pola corak pengundian baharu dapat dilihat kelak.
Apa yang pasti, situasi pecah undi pasti berlaku khususnya pengundi Melayu apabila sekurang-kurangnya pertandingan empat penjuru di 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 56 dipertandingkan di Johor.
Ada pihak menantikan adakah pengundi Johor akan mengulangi ‘tsunami’ undi seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau mungkin pengundi cenderung meng-ambil jalan selamat dengan mengembalikan semula mandat kepada BN pada hari mengundi nanti.
Suara sebenar ‘Bangsa Johor’ yang mencerminkan hasrat sebenar dan apa aspirasi mereka akan diketahui pada 12 Mac ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



