Calon wanita muda Pakatan Harapan (PH), Farzana Hayani Mohd Nasir, tidak gentar berdepan saingan empat penjuru di DUN Klebang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malah menepis kritikan mengenai kurangnya pengalaman politik dengan menegaskan beliau tidak mempunyai pengalaman ‘sakau’.
Farzana, 26, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu bakal berdepan penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) serta Young Jie Yu (Bersama).
Beliau bukan wajah baharu dalam gelanggang pilihan raya apabila pernah bertanding di DUN Sungai Rambai pada PRN Melaka 2021 ketika berusia 21 tahun, namun tewas selepas memperoleh 1,356 undi.
Mengulas kritikan pihak tertentu yang mempertikaikan pengalamannya, Farzana menegaskan beliau bersedia membuktikan kemampuan sebagai calon muda sekiranya diberikan peluang oleh pengundi Klebang.
“Ada yang mengatakan saya tiada pengalaman. Tapi saya nak mengatakan, saya tiada pengalaman… pengalaman ‘sakau’, saya tak ada pengalaman yang itu.
“Tapi untuk bekerja, insya-Allah berilah peluang kepada anak muda, terutamanya wanita muda di kawasan Klebang ini,” katanya hari ini.
Farzana berkata, pengalaman bertanding pada PRN lalu menjadi bekalan berharga untuk memastikan persediaan dan gerak kerja jentera kempennya kali ini lebih teratur.
Katanya, meskipun berdepan calon yang lebih berpengalaman, beliau bersama jentera PH akan bekerja lebih keras sepanjang tempoh 14 hari berkempen.
“Kali ini kita lebih tersusun yang mana perjalanan semua tersusun, jadual tersusun dan jentera semua lengkap. Walaupun cabaran itu ada berdepan calon yang lebih berpengalaman, kita akan kempen secara agresif dan bekerja lebih keras dalam tempoh 14 hari ini,” katanya.
Menurutnya, pertandingan di Klebang turut membawa makna tersendiri kerana beliau dibesarkan di Bukit Rambai yang terletak dalam kawasan berkenaan.
Farzana berkata, antara keutamaannya adalah memperjuangkan kebajikan nelayan di kawasan pesisir pantai, selain isu yang dihadapi golongan ibu dan wanita muda berkerjaya.
Beliau turut mahu memberi perhatian terhadap nasib anak muda tempatan yang terpaksa berhijrah ke luar Melaka untuk mencari peluang pekerjaan.
Sehubungan itu, Farzana berharap pengundi Klebang memberikan kepercayaan kepada calon muda dan wanita sepertinya untuk membuktikan kemampuan berkhidmat kepada masyarakat setempat.
Pada PRN Melaka 2021, Lim mempertahankan kerusi Klebang selepas memperoleh 5,028 undi, menewaskan calon PKR, Gue Teck yang meraih 4,152 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Bakri Jamaluddin dengan 3,884 undi.




