CAP gesa pihak berkuasa pantau penjualan online produk kosmetik diharamkan  – Utusan Digital

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengesan sekurang-kurangnya sembilan produk kecantikan krim muka yang diharamkan penggunaannya dijual secara terbuka menerusi platform aplikasi beli-belah ketika ini. 

 

Sehubungan itu, Presidennya, Mohideen Abdul Kader menggesa berkuasa supaya melarang laman sesawang e-dagang daripada menjual produk kosmetik yang diharamkan tersebut. 

 

Ujarnya, produk itu adalah di dalam senarai pemberitahuan produk kosmetik yang dibatalkan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mengandungi merkuri dan bahan kimia berbahaya lain. 

 

Jelas beliau, selain dijual secara berasingan krim muka itu juga dijual dalam satu set dengan produk kosmetik lain daripada jenama yang sama seperti sabun dan pelembap. 

 

“Produk kosmetik pencerah kulit yang mengandungi merkuri mendedahkan risiko bahaya kepada pemakainya. 

 

“Merkuri dalam produk pencerah yang mampu meresap melalui kulit bukan sahaja boleh merosakkan kulit, malah buah pinggang dan sistem saraf,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Sehubungan itu tambah Mohideen, CAP menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan segera pengharaman produk itu dengan mengambil tindakan terhadap laman sesawang e-dagang yang menjualnya. 

 

Tindakan itu jelasnya, termasuk  mengenakan denda dan mengeluarkan senarai produk bagi produk kosmetik yang diharamkan. 

 

Dalam masa sama ujar beliau, pihak berkuasa juga perlu memantau dengan teliti semua produk kosmetik lain yang mengandungi bahan berbahaya diharamkan tetapi masih dijual secara meluas di pasaran, termasuk menerusi platform beli-belah secara dalam talian.

 

“Selain itu, pengguna juga seharusnya mengelak daripada menggunakan bahan kimia pemutih dan seharusnya menerima warna kulit semula jadi dan menentang diskriminasi dan prejudis berdasarkan warna kulit,” katanya.  -UTUSAN ONLINE