firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya memanfaatkan kesempatan terbaik merangka strategi menjelang aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.
Ia selepas aksi persahabatan kedua bertemu Cape Verde yang dijalankan secara tertutup menyaksikan pengendali negara, Peter Cklamovski menggunakan ruang yang ada memberi kesemua pemain beraksi.
Dalam aksi itu, skuad negara tewas di tangan pasukan di ranking 72 dunia itu dengan keputusan 0-3.
Difahamkan, tiga gol lawan diraih menerusi Rocha Livramento yang meledak dua gol masing-masing di minit ke-35 dan 48, manakala Heriberto Tavares pada minit ke-55.
Kekalahan itu tidak dikira sebagai pungutan mata ranking kerana ia adalah perlawanan berstatus tidak rasmi.
Sebelum ini, kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Tier 1 pada Khamis lalu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, dengan Malaysia dan Cape Verde terikat 1-1.
Dua perlawanan itu dianggap persiapan terbaik skuad negara sebelum bertemu Vietnam dengan Cklamovski turut menguji beberapa pemain warisan baharu negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd