Capital A cadang buka operasi di LTAS

Capital A cadang buka operasi di LTAS

Capital A Berhad, syarikat induk AirAsia berminat untuk membuka operasi penerbangan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) sebaik sahaja pembangunan semula lapangan terbang itu siap dilaksanakan sepenuhnya nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Subang adalah lapangan terbang yang sentiasa dekat di hatinya dan beliau sering mengatakan bahawa adalah satu pembaziran aset jika LTAS tidak dibuka sepenuhnya.

Katanya, bandar besar seperti Kuala Lumpur seharusnya mempunyai dua lapangan terbang dan dikenakan harga yang berbeza.

“(Sebagai contoh) Lapangan Terbang Bandar London lebih mahal berbanding Lapangan Terbang Heathrow untuk terbang dari dan ke mana sahaja destinasi.

“Ia (pembangunan semula LTAS) adalah langkah amat berani dan keputusan yang tepat untuk industri penerbangan di Malaysia.

“Kami tidak bercadang memindahkan sebahagian operasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), tetapi akan membuka operasi baharu di sini kerana mahu menyasarkan pasaran berbeza di LTAS,” katanya selepas melancarkan Ask Bo, pusat perkhidmatan pelanggan baharu yang akan menggantikan bot sembang pertamanya iaitu AirAsia Virtual Allstar (AVA) yang turut ditamatkan perkhidmatannya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam.

Mengulas lanjut, Tony berkata, LTAS sesuatu yang emosional buat dirinya kerana beliau berjuang 21 tahun untuk memastikan lapangan terbang itu terus dibuka.

“Saya secara peribadi mahu memuji tindakan kerajaan kerana ia langkah yang amat baik. Selama 21 tahun saya sering mengatakan LTAS harus dibuka dan anda boleh diberi jaminan 100 peratus yang kami (AirAsia) akan berada di sana (LTAS).

“Di sini kami bermula 21 tahun lalu dan saya berfikiran setiap bandar besar harus mempunyai lapangan terbang bandar,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang bakal melonjakkan status lapangan terbang itu menjadi hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan pilihan di Asia Pasifik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kelulusan itu diputuskan Kabinet pada Khamis lalu, selepas beliau membentangkan pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang dibangunkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

© New Straits Times Press (M) Bhd