Cara mandi jenazah yang mewarnakan rambut

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Foto hiasan.

Soalan:

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang cara mandi jenazah bagi jenazah yang mewarnakan rambut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Ringkasan jawapan

Pertama, hendaklah dipastikan bahawa bahan perwarna tersebut sama ada ia diperbuat daripada bahan yang menghalang air ataupun tidak. Jika ia daripada bahan yang tidak menghalang air, maka jenazah hendaklah dimandikan dan disolatkan seperti biasa. Namun, jika ia daripada bahan yang menghalang air maka hendaklah cuba dihilangkan pewarna tersebut dan jika hilang, dimandikan dan dibasuh anggota badan lain untuk sampai air padanya seperti biasa juga.

Jika pewarna itu tidak mampu untuk dihilangkan, maka sebaiknya hendaklah dicukur rambut bagi memastikan air sampai kepada tempat yang wajib dibasuh (rambut dan kulit kepala) atau ditayammumkan dan dibasuh semua anggota badan lain yang tidak terlibat. Pada kebiasaannya, kebanyakan pewarna rambut (hair dye) adalah bersifat menghalang air daripada sampai ke rambut. Wallahu a’lam.

Advertisement

Huraian jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertamanya, kadar yang paling minimum bagi mandi jenazah ialah dengan meratakan air ke seluruh badan jenazah sebanyak sekali sahaja. Hal ini disebutkan di dalam banyak kitab fiqh al-Syafie, antaranya:

وَأَقَلُّ الْغُسْلِ تَعْمِيمُ بَدَنِهِ بِالْمَاءِ مَرَّةً لِأَنَّ ذَلِكَ هُوَ الْفَرْضُ كَمَا فِي الْغُسْلِ مِنْ الْجَنَابَةِ فِي حَقِّ الْحَيِّ

Maksudnya: Kadar yang paling minimum bagi mandi jenazah ialah dengan meratakan air ke seluruh badan sebanyak sekali sahaja. Ini kerana itu yang fardhu sepertimana tuntutan mandi wajib ke atas orang yang hidup. (Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’: 199-200)

Manakala, tatacara mandi jenazah yang sempurna sudah dibahaskan dalam artikel yang lain, sila rujuk al-Kafi 1050: Tatacara Pemandian Jenazah Yang Betul.

Namun jika ada keadaan yang tidak dapat dimandikan dengan sempurna seperti keadaan jenazah yang mewarnakan rambut seperti di dalam soalan di atas, maka caranya adalah dengan memastikan bahan pewarna yang digunakan untuk mewarnakan rambut tersebut.

Jika sekiranya pewarna bagi mewarnakan rambut itu diperbuat daripada bahan yang tidak menghalang air daripada terkena kulit, seperti minyak yang sedikit dan masih boleh menyerap air, maka hendaklah dimandikan jenazah seperti biasa, kemudian disolatkan. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’:

إذا كان على بعض أعضائه شمع أو عجين أو حناء وأشباه ذلك، فمَنَعَ وصولَ الماء إلى شيء من العضو؛ لم تصحَّ طهارته، سواء كثر ذلك أم قلَّ، ولو بقي على اليد وغيرها أثر الحناء ولونه دون عينه أو أثر دهن مائع بحيث يمس الماء بشرة العضو ويجري عليها لكن لا يثبت؛ صحَّت طهارته

Maksudnya: Jika sekiranya di atas sebahagian anggota badannya terdapat lilin, tepung atau inai dan seumpamanya, yang mana ia menghalang air daripada sampai kepada anggota tersebut, maka tidak sah taharahnya, sama ada benda itu sedikit ataupun banyak. Namun, jika di atas tangannya atau pada anggota badan yang lain masih tersisa kesan inai dan warnanya tanpa zatnya, atau kesan minyak yang cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota badan tersebut, dengan mengalir dan tidak melekat, maka sah taharahnya itu. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:467)

Adapun jika pewarna bagi mewarnakan rambut itu daripada bahan yang menghalang air daripada terkena kulit, maka ia tidak dapat memenuhi tuntutan wajib bagi mandi tersebut iaitu meratakan air ke seluruh badan.

Oleh yang demikian, para ulama’ berpandangan bahawa apabila wujud keuzuran untuk melaksanakan kewajipan tersebut, maka hendaklah melakukan tayammum kepada jenazah tersebut. Imam al-Khatib al-Syarbini menyebut dalam kitabnya, al-Iqna’:

وَمَنْ تَعَذَّرَ غُسْلُهُ يُمِّمَ كَمَا فِي غُسْلِ الْجَنَابَةِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mempunyai keuzuran untuk melaksanakan kewajipan mandi tersebut, maka hendaklah dilakukan tayammum ke atas jenazah tersebut, sama hukumnya seperti mandi wajib. (Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’: 200)

Selain itu, wajib juga untuk memandikan jenazah dengan membasuh anggota-anggota badan yang lain yang tidak terlibat seperti biasa. Manakala, anggota yang ada keuzuran untuk menyampaikan air kepadanya itu diganti dengan tayammum selepas mandi, kemudian jenazah disolatkan. Ini seperti disebut Imam al-Bujairimi dalam hasyiahnya:

وَيَصِحُّ أَنْ يُيَمَّمَ وَيُصَلَّى عَلَيْهِ فِي هَذِهِ الْحَالَةِ عَلَى مُعْتَمَدِ ابْنُ حَجَرٍ وَيَجِبُ غَسْلُ بَاقِي بَدَنِهِ مَا عَدَا مَحَلَّ الْقُلْفَةِ إنْ لَمْ يُمْكِنْ فَسْخُهَا

Maksudnya: Sah untuk melakukan tayammum kepada jenazah dan disembahyangkan dalam keadaan ini mengikut pandangan muktamad daripada Imam Ibn Hajar. Kemudian, wajib untuk memandikan jenazah tersebut keseluruhan anggota badan yang lain selain daripada kulup (qulfah), jika sekiranya tidak boleh untuk menghilangkannya. (Rujuk Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2:268)

Di samping itu, terdapat juga pandangan untuk mencukur rambut jenazah yang telah diwarnakan tersebut. Dalam hal ini, terdapat khilaf dalam kalangan ulama’ syafieyyah tentang hukum mencukur rambut jenazah. Imam al-Nawawi menyebutkan tentang khilaf tersebut bahawa:

من أصحابنا من رأى حلق الشعر وتقليم الأظفار ومنهم من لم يره ، وقال الشافعي وتركه أعجب إليَّ.. إلى أن قال: فحصل أن المذهب أو الصواب ترك هذه الشعور والأظفار، لأن أجزاء الميت محرمة فلا تنتهك بهذا، ولم يصح عن النبي صلى الله عليه وسلم والصحابة في هذا شيء فكره فعله.

Maksudnya: Ada dalam kalangan ulama’ mazhab kami (al-Syafie) berpandangan harus untuk mencukur bulu dan memotong kuku jenazah, dan ada juga dalam kalangan mereka yang tidak berpandangan sedemikian. Imam al-Syafie berkata: “Tidak mencukur bulu atau memotong kuku itu aku lebih sukai.” Imam al-Nawawi berkata: “Maka hasilnya bahawa pandangan mazhab atau pandangan yang benar ialah tidak harus mencukur bulu dan memotong kuku, kerana anggota badan jenazah tersebut merupakan sesuatu yang dihormati, maka janganlah mencemarinya dengan perkara ini. Tiada nas yang sahih daripada Nabi SAW dan para sahabat berkaitan perkara ini, maka hukum melakukannya adalah makruh. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5:179-180)

Ada juga pandangan yang mengatakan wajib untuk mencukur rambut jenazah jika tidak mampu untuk dihilangkan pewarna rambut tersebut dan sudah tentu ia lebih diyakini untuk air sampai ke kulit kepala, disebut di dalam al-Manhaj al-Qawim Bi Syarh Masail al-Ta’lim:

نعم لو لبّد شعره بنحو صمغ ولم يصل الماء إلى أصوله إلّا بها, وجبت إزالته.

Maksudnya: Ya, jika disaluti rambut dengan sesuatu yang melekat dan air tidak sampai ke asalnya (rambut) kecuali dengan mencukurnya, maka wajib untuk mencukurnya. (Rujuk al-Manhaj al-Qawim Bi Syarh Masail al-Ta’lim: 344-345)

Wallahu a’lam. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

(Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad al-Fatwa yang diterbitkan 5 Mac 2021.)