puterialia@hmetro.com.my
Petaling Jaya : Cabaran dalam menganjurkan program Islamik atau nasyid ketika ini tidak sewajarnya menjadi penghalang buat penggiat seni untuk terus memperkasa kandungan dakwah melalui cabang hiburan.
Anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, isu kesukaran mendapatkan tajaan juga tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk menghentikan usaha murni tersebut.
“Selalu yang kami dengar, ada beberapa organisasi hendak buat program nasyid atau Islamik ini susah dapatkan tajaan.
“Sebenarnya hal berkaitan tajaan ini terletak atas diri kita. Kalau stesen televisyen rasa buat program Islamik ini tidak laku, agak bahaya sebab yang mengendalikan stesen itu adalah mereka.
“Jadi, pada saya perkara ini bergantung atas diri individu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Malam Qolbu di Damansara, di sini, semalam.
Menurut Azadan, setiap penggiat seni yang membawa mesej positif menerusi lagu ketuhanan dan nasyid memikul tanggungjawab besar untuk terus memperjuangkan karya berkenaan kepada masyarakat.
“Saya yakin artis nasyid, lagu ketuhanan atau mereka yang memperjuangkan lagu kebaikan itu adalah tanggungjawab kita.
“Perkara ini sudah diberi kesedaran sejak kecil. Jadi, untuk yang mahu menguruskannya perlu menerima perkara itu dan tidak boleh jadikan alasan program Islamik tidak ada tajaan,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam perkembangan lain, Rabbani bakal mengubati rindu peminat menerusi Konsert Malam Qolbu yang dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena pada 24 Ogos depan.
Konsert anjuran Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project dengan kerjasama strategik daripada Laskar Entertainment itu turut menampilkan barisan artis hebat lain seperti Mawi, The Rayhan, UNIC dan Opick.
Lebih menarik, konsert berkenaan akan diselitkan dengan penceritaan berkonsepkan kerohanian menerusi pelbagai segmen, sebelum diakhiri dengan alunan selawat yang menyatukan penonton dalam suasana ukhuwah serta kecintaan kepada Rasulullah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




