BRISBANE – Seorang cef warga Itali di Australia dipecat selepas enggan menyediakan piza berinti nanas kerana menganggap penggunaan bahan itu sebagai satu penghinaan terhadap budaya negaranya.
Memetik laporan BBC, Davide Tamburella diberhentikan daripada sebuah restoran, La Costa yang kini sudah ditutup pada Mei lalu, kira-kira dua minggu selepas menghadiri pertemuan dengan pihak pengurusan berhubung beberapa aduan terhadap tingkah lakunya di tempat kerja.
Antara isu yang dibangkitkan ialah keengganannya menyediakan piza ham dan nanas untuk pelanggan yang menghadiri satu majlis di restoran berkenaan.
Tamburella dilaporkan bertegas bahawa sebarang arahan pihak pengurusan tidak perlu dipatuhi sekiranya dianggap menyinggung budaya negaranya.
Menurut keputusan Suruhanjaya Kerja Adil Australia (Fair Work Commission) yang dikeluarkan pada Selasa, cef itu enggan menggunakan nanas kerana menganggap tindakan meletakkan buah berkenaan di atas piza sebagai penghinaan terhadap budaya Itali.
Suruhanjaya itu turut mendapati kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku apabila Tamburella sudah tiga kali menolak penggunaan nanas dalam penyediaan piza sepanjang tempoh empat tahun lalu.
Malah, beliau pernah meminta majikannya menyemak kepentingan larangan meletakkan nanas pada piza dalam kalangan masyarakat Itali.
Menariknya, restoran berkenaan terletak di Queensland yang terkenal sebagai kawasan pengeluaran utama nanas di Australia, selain menjadi pengeluar tunggal nanas yang ditanam secara komersial di negara itu.
Di Sunshine Coast, pengunjung juga sering singgah untuk bergambar di hadapan mercu tanda Big Pineapple, iaitu replika nanas setinggi 16 meter yang diperbuat daripada gentian kaca.
Selain isu piza nanas, pihak pengurusan turut membangkitkan beberapa aduan lain termasuk penggunaan bahasa kesat, gaya komunikasi serta sikapnya yang semakin mudah menunjukkan rasa tidak puas hati di tempat kerja.
Keputusan suruhanjaya itu turut mendedahkan satu insiden pada April lalu apabila Tamburella mengalami keretakan tulang pada tangan kanan selepas menumbuk pagar besi.
Dalam pada itu, Tamburella sebelum ini berharap restoran berkenaan dapat menaja visa pekerjaan berkemahiran yang membolehkannya memperoleh status pemastautin tetap di Australia.
Bagaimanapun, proses berkenaan dihentikan selepas beliau dipecat.
Tamburella kemudian memfailkan tuntutan pemecatan tidak adil terhadap bekas majikannya, namun tuntutan itu ditolak kerana dikemukakan selepas tempoh masa yang ditetapkan.
Pengarah Urusan restoran berkenaan, Elliot Ingram memberitahu isu berkenaan mempunyai banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan dan bukan sekadar soal bahan tambahan pada piza.



