am@hmetro.com.my
Balik Pulau: Seorang bekas pekerja kilang didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencekik leher rakan sekerjanya, Julai lalu.
Majistret Chia Huey Ting turut memerintahkan tertuduh, Siti Fadzhlina Bazheer Ahamed, 42, dipenjarakan selama 14 hari jika gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, Siti Fadzhlina didakwa mendatangkan kecederaan ke atas seorang wanita berusia 30 tahun dengan cara mencekik lehernya dalam Kilang Abbott Medical Device Sdn Bhd, Plot 102, Kampung Jawa, Bayan Lepas jam 12.30 tengah hari, 26 Julai lalu.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Yiew De Xian.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak mencekik leher pengadu kerana tindakan pengadu bermain bermain telefon bimbit menyebabkan barang lambat sampai kepada tertuduh ketika sedang bekerja.
Berikutan itu, pengadu telah membuat laporan polis yang kemudiannya menahan tertuduh selepas kejadian.
Semasa prosiding, Yiew memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dan memaklumkan tertuduh yang masih bujang perlu menanggung ibunya selain sudah kehilangan pekerjaan akibat kejadian berkenaan.
Ketika menjatuhkan hukuman, Huey Ting sempat menasihati tertuduh supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan sebaliknya memaklumkan kepada penyelia sekiranya berdepan masalah di tempat kerja.
“Nasib baik kamu cekik dia tak mati. Kalau dia mati, apa yang kamu dapat? Kalau dia mati, kamu kena pertuduhan membunuh. Kamu sepatutnya beritahu supervisor (penyelia),” katanya.
Tertuduh berkata dia sudah insaf serta menyesali perbuatan yang dilakukannya dan membayar denda berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

