KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyegerakan proses pindaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan e-dagang bagi memastikan ekosistem perniagaan digital negara lebih selamat, teratur dan kondusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memenuhi keperluan peniaga digital yang semakin berkembang khususnya dalam kalangan usahawan muda yang memanfaatkan platform dalam talian untuk menjana pendapatan.
Menurut beliau, Akta Perdagangan Elektronik 2006 kini sedang diteliti semula bagi memastikan peruntukan sedia ada kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta perubahan model perniagaan digital.
“Sekarang ini umpamanya kita ada Akta Perdagangan Elektronik yang diluluskan sejak 2006. Tetapi Saudara Armizan memaklumkan kita sedang menggubal Rang Undang-Undang E-Dagang, perbaiki untuk permudahkan dan juga pengawalan. Sebagaimana saudara-saudara dan anak-anak tahu, tiap ikhtiar baru atau inisiatif baru, dia juga ada beberapa kekangan dan cabaran.
“Kita mahu menggalakkan perniagaan yang sah dan bona fide, tapi kita tahu ruang ini juga terbuka bagi kalangan yang mungkin menyalahgunakan perkhidmatan ini. Oleh itu, sebahagian peraturan harus ada. Orang yang memperkenalkan ya apa-apa juga jenis barang, makanan atau barangan dijual, mesti ada nilai etika yang diterapkan,” katanya ketika merasmikan TikTok Shop Summit 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sebarang pindaan undang-undang perlu mengambil kira keperluan peniaga kecil dan usahawan baharu supaya mereka dapat berkembang dalam persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.
Beliau berkata, pendekatan kawal selia yang terlalu membebankan boleh menjejaskan penyertaan usahawan kecil dalam ekonomi digital, justeru keseimbangan antara perlindungan pengguna dan kemudahan berniaga perlu diberi perhatian.
Anwar berkata, kerajaan menyokong perkembangan ekonomi digital kerana sektor itu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat menceburi bidang keusahawanan tanpa memerlukan kos operasi tinggi seperti penyediaan premis atau modal permulaan yang besar.
Katanya, perkembangan platform digital turut memberi ruang kepada usahawan mikro dan perusahaan kecil memperluaskan pasaran bukan sahaja di dalam negara, malah ke peringkat antarabangsa.
“Platform digital ini memberikan peluang yang cukup besar kepada rakyat, terutama anak muda untuk memulakan perniagaan dengan kos yang lebih rendah dan pasaran yang lebih luas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pertumbuhan sektor berkenaan perlu disertai mekanisme kawal selia yang berkesan bagi memastikan aspek keselamatan pengguna, kualiti produk dan etika perniagaan terus dipelihara.
Menurutnya, kerajaan tidak mahu perkembangan ekonomi digital berlaku tanpa mengambil kira risiko yang boleh menjejaskan pengguna dan peniaga.
“Setiap inisiatif baharu pasti ada cabaran. Kita mahu ruang ini berkembang tetapi pada masa sama perlu ada perlindungan supaya tidak berlaku penipuan, maklumat mengelirukan atau penyalahgunaan platform digital,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan akan terus menggerakkan pelbagai agensi termasuk TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan institusi kewangan berkaitan kerajaan bagi membantu usahawan mikro serta peniaga baharu mendapatkan akses kepada pembiayaan.
Anwar berkata, sokongan itu penting bagi memastikan peluang yang diwujudkan menerusi ekonomi digital dapat dimanfaatkan secara lebih meluas, terutama oleh golongan muda dan perusahaan kecil.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan bersedia meneliti pandangan serta cadangan pemain industri dalam usaha menambah baik ekosistem e-dagang negara.
“Kalau perlu pindaan undang-undang baharu untuk memudahkan urusan peniaga dan memberi perlindungan kepada pengguna, kita akan lakukan.
“Yang penting, peluang ini mesti dimanfaatkan untuk membantu rakyat dan anak muda berjaya dalam bidang perniagaan,” katanya. – UTUSAN

