MELAKA – Keputusan Barisan Nasional (BN) sama ada bertanding secara solo atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, 28 Ogos ini.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam itu akan membincangkan perkara berkaitan hala tuju politik Melaka, selain perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan.
“Setakat maklumat yang saya ada, belum ada keputusan muktamad mengenai hala tuju Negeri Melaka. Yang ada ialah perbincangan dalam media dan kenyataan beberapa orang.
“Saya melihat tarikh 28 Ogos ini adalah tarikh penting kerana pada hari Jumaat itu berlangsung Mesyuarat MKT UMNO.
“Segala isu berkaitan Melaka dan perkara yang hendak dilaporkan mengenai Johor serta Negeri Sembilan boleh dibawa pada ketika itu,” katanya pada Khamis.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 3 Tahun 2028 di Seri Negeri di sini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, beliau akan mengemukakan pandangan berhubung hala tuju BN di Melaka pada mesyuarat berkenaan.
“Saya sendiri akan bangkitkan kerana saya tidak pernah tidak bercakap dalam setiap kali Mesyuarat MKT memberikan cadangan.
“Apakah cadangan saya kepada mesyuarat itu? Biarlah rahsia,” katanya.
Mengulas mengenai kecenderungan BN sama ada memilih PH, PN atau bertanding solo, Ahmad berkata, perkara itu perlu menunggu keputusan MKT UMNO.
“Saya akan akur apa juga keputusan dalam Mesyuarat MKT. Saya yakin ahli-ahli MKT selalunya memberikan cadangan yang bernas.
“Di semua mesyuarat yang telah berlaku selama ini, kita membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Ujarnya, perkara utama yang akan diberi perhatian ialah memastikan BN mencapai kemenangan di Melaka.
“Kita 28 Ogos pada pukul 8 malam akan berbincang dengan serius bagaimana mencari kemenangan di Melaka. Apa juga pada kita, yang penting ialah kemenangan BN di Negeri Melaka.
“Sebagaimana yang kita putuskan di negeri Johor, kaedah bertanding solo sesuai dengan Negeri Johor, maka kita mendapat kemenangan di Johor.
“Kemudian persefahaman dengan PN di Negeri Sembilan, itulah kaedah terbaik di Negeri Sembilan,” katanya.
