Las Vegas, Amerika Syarikat: John Cena mencipta sejarah apabila muncul juara dunia kali ke-17 selepas menewaskan Cody Rhodes dalam acara utama yang luar biasa di WrestleMania 41, semalam.
Penyanyi rap, Travis Scott memainkan peranan besar dalam kejayaan Cena manakala Rhodes pulang tanpa sebarang kejuaraan.
Kemenangan ke atas Rhodes yang berlaku selepas gangguan mengejut Scott, bermakna Cena kini memintas Ric Flair sebagai pemegang gelaran dunia terbanyak dalam sejarah syarikat itu.
Cena sebelum ini mengumumkan bahawa beliau akan bersara pada penghujung 2025, sekali gus menjadikan WrestleMania kali ini yang terakhir buat ahli gusti paling berjaya yang pernah menjejakkan kaki ke dalam gelanggang WWE.
Beberapa juara baru turut dinobatkan pada malam yang penuh dengan kejutan dan drama, namun tiada yang lebih bersejarah daripada perlawanan terakhir hujung minggu itu.
Ia malam bersejarah atas pelbagai sebab, terutamanya kerana ia WrestleMania pertama yang disiarkan secara langsung di Netflix, yang menarik perhatian lebih 300 juta pelanggan platform tersebut di seluruh dunia.
Terdahulu dalam acara tersebut, Iyo Sky berjaya mempertahankan gelaran Women’s World menentang Bianca Belair dan Rhea Ripley, manakala Dominick Mysterio memenangi kejuaraan Intercontinental selepas menewaskan Bron Breakker, Finn Balor, dan Penta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




