Ceti haram tuntut mangsa bayar pinjaman berlipat kali ganda

Ceti haram tuntut mangsa bayar pinjaman berlipat kali ganda

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapat surat penghakiman dari mahkamah yang mengarahkan mereka membayar lebih RM120,000 kepada ceti haram.

Mangsa, M Paramasivam, 43, berkata, dia meminjam wang daripada seorang individu di Klang pada 2019 untuk membantu perniagaan bengkel dimilikinya selepas diperkenalkan oleh rakan.

“Saya pinjam beberapa kali daripada lelaki berusia 40-an itu tetapi saya bayar semula. Kali terakhir saya pinjam sebanyak RM10,000 tapi tidak mampu bayar semula kerana Covid-19.

“Pada tahun ini, isteri, L Kumutha, 44, menerima surat keputusan penghakiman yang mengarahkan kami membuat bayaran sebanyak RM120,610 kepada lelaki itu dalam tempoh 14 hari kerana mempunyai perjanjian perniagaan dengannya.

“Sepanjang tempoh sebelum keputusan penghakiman itu, saya tidak pernah menerima sebarang surat memaklumkan mengenai kes itu difailkan di mahkamah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, dia pelik bagaimana isterinya turut terbabit dalam arahan penghakiman itu sedangkan hanya dia meminjam wang daripada lelaki berkenaan.

“Sebelum ini, saya diisytiharkan bankrap dan terpaksa menggunakan akaun bank milik isteri bagi memasukkan wang yang dipinjam, namun dia tiada kaitan dengan pinjaman ini.

“Lebih pelik apabila dia menuntut hutang kononnya kami ada perjanjian persahabatan dalam perniagaan sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“Saya cuma pinjam wang dengan dia bukannya buat kerjasama perniagaan dan saya tidak pernah tandatangan sebarang dokumen sepanjang proses meminjam,” katanya yang memaklumkan isterinya sudah melantik peguam bagi meneliti perkara itu.

Seorang lagi mangsa, M Valuvar, 44, berkata, dia meminjam sebanyak RM10,000 daripada lelaki berkenaan pada 2019 dan sudah membayar RM6,000.

“Saya dimaklumkan perlu membayar RM1,00 setiap bulan sebagai ‘bunga’ bagi pinjaman itu. Semasa proses pinjaman itu juga, saya diminta untuk menandatangani beberapa surat kosong.

“Beberapa bulan kemudian, saya dimaklumkan ada surat akuan bersumpah antara saya dengan lelaki itu yang mendakwa saya berhutang sebanyak RM30,000 dengannya berkaitan perniagaan kelapa dijalankan secara bersama,” katanya.

Valuvar yang bekerja sebagai pemandu trak tunda berkata, dia tidak pernah menandatangani surat akuan bersumpah dan tidak pernah hadir di hadapan Pesuruhjaya Sumpah bagi tujuan itu.

“Saya syak dia menggunakan surat kosong yang saya tandatangan untuk diubah sebagai surat akuan sumpah untuk meminta saya buat bayaran lebih daripada jumlah pinjaman.

“Disebabkan itu, saya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian ini pada April lalu, namun sehingga sekarang belum ada perkembangan dimaklumkan kepada saya mengenai kes terbabit,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kebangsaan Nambikkai Datuk Dr Kalai Vanar berkata, setakat ini, sudah enam individu tampil mendakwa mereka menjadi mangsa manipulasi oleh individu terbabit.

“Modus operandi individu itu adalah mengambil kesempatan atas kesempitan mangsa dengan menggunakan tandatangan atau maklumat mereka serta keluarga bagi mengada-adakan surat perjanjian hutang yang tidak wujud.

“Bayangkan, mangsa hanya pinjam antara RM3,000 hingga RM10,000 tapi dipaksa bayar sehingga lebih RM120,000 menerusi arahan mahkamah dengan alasan perjanjian perniagaan padahal pinjaman dibuat kepada individu itu sebagai ceti haram.

“Kita yakin ada ramai lagi individu yang menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan yang beroperasi sebagai ceti haram tanpa lesen di Klang sejak 10 tahun lalu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau turut meminta mangsa taktik penipuan lelaki berkenaan diminta menghubunginya atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang dapat membantu mengetengahkan permasalahan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd