Lelaki warga Myanmar ditemukan maut terjatuh tasik

Lelaki warga Myanmar ditemukan maut terjatuh tasik

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tebing tasik di Taman Cheras Prima, di sini, hari ini.

Mangsa, Kyaw Zaw Hein ditemui pada kedalaman kira-kira 1.5 meter, sekitar tiga meter dari tebing tasik berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasanjam 7.31 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian segera menjalankan operasi pencarian menggunakan kaedah ‘arch pattern’.

“Mangsa berjaya ditemukan tidak lama kemudian sebelum dibawa naik ke tebing oleh anggota penyelamat.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi turut membabitkan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan BBP Klang dengan kekuatan keseluruhan sembilan anggota serta sebuah jentera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top