Che Sayang Kitchen diangkat Creator Of The Year

Che Sayang Kitchen diangkat Creator Of The Year

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan masakan, Che Sayang Kitchen diumumkan sebagai Creator Of The Year di Anugerah TikTok Malaysia 2024 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam tadi.

Kejayaan itu, sekali gus memberi peluang kepada Che Sayang membawa pulang trofi dan sebuah telefon bimbit. 

Lebih mengujakan, Che Sayang menewaskan lima pencabar hebat iaitu Ryan Bakery, Sofyank, Shi Qi, Daddy Hood dan Sofea Shra. 

Che Sayang atau nama sebenarnya Qayyum Halid berkata, dia tidak menyangka dengan pengiktirafan diterima dan berterima kasih kepada penyokong yang tidak henti mengundi. 

“Jujur saya rasa agak mustahil untuk menang kategori ini.  Tapi saya cakap kepada pasukan saya kalau kita kerja keras, Insya Allah tiada apa yang mustahil.

“Saya berterima kasih kepada keluarga dan peminat yang menyokong saya selama ini. 

“Kalau anda boleh bermimpi, anda juga boleh kerja keras untuk capai mimpi itu,” katanya penuh rasa sebak. 

Bagi kategori Selebriti dimenangi oleh pelakon dan penyanyi popular, Bella Astillah. 

Bella berkata, sejak membuka akaun TikTok pada 2018 dia menerima banyak manfaat dan peluang baharu kepada dirinya.

Sementara itu, Brader Wheel Chair dan Lokohopunohgroup pula meraih trofi anugerah istimewa menerusi kategori Changemaker.

Anugerah istimewa itu bertujuan untuk memberi sokongan kepada mereka yang berani mencipta impian serta berjaya memberikan impak besar dan melangkaui batasan yang positif melalui kandungan yang dicipta sama ada dalam memberikan inspirasi kepada perubahan positif, memberikan kesedaran mengenai isu-isu penting, mahu pun memberi inspirasi kepada ribuan penonton.

Sementara itu, bagi kategori pilihan popular iaitu TikTok Live pula dimenangi oleh Acap S atau Asraf Jaafar, video (Agy Official), TikTok Shop (Pinn Yang). 

Kategori pilihan juri bagi hiburan diberikan pada Kanafly, anumasi (Yimotapir), permainan video (Kingshahx), sukan (Amaranas), makanan  (Tang Guo Shop), pendidikan (Aminxabid) serta kecantikan Dan fesyen (Aishah Rahim). 

Anugerah gilang-gemilang disiarkan secara langsung di TV3 dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof serta Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Kemuncak acara itu menampilkan Che Puan Sarimah Ibrahim dan Janna Nick sebagai pengacara manakala Ain Edruce dan Ceddy Ang menggalas tanggungjawab sebagai hos karpet merah.

Acara itu turut menyaksikan persembahan istimewa daripada barisan penyanyi popular iaitu Aina Abdul, Naim Daniel, Aisha Retno, Sarah Suhairi, Amir Jahari, Zubir Khan, Ezra Kairo, Alfie Zumi, Muahx, Faizal Tahir, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan.

TikTok Awards Malaysia 2024 adalah acara kedua dijayakan TV3 dan TikTok malah menjadi tapak lonjakan untuk meraikan seterusnya membuka peluang kepada pencipta kandungan membuktikan impian mereka mampu menjadi nyata.

Anugerah diperkenalkan tahun lalu itu juga memberikan ruang dan laluan besar kepada pemenang serta calon yang tersenarai untuk mereka mengorak langkah dalam penciptaan kandungan malah kerjaya profesional mereka. 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top