najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Rozita Che Wan mengaku kontroversi hutang Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengakibatkan ada dalam kalangan rakan menjauhkan diri.
Rozita, 52, yang dikenali sebagai Che Ta, berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan sebaliknya menyifatkan Allah menunjukkan kebenaran.
“Mestilah ada yang menjauhkan diri. Apabila Allah memberikan ujian kita boleh tengok yang mana Allah nak jauhkan kita daripada dia, masa itulah dia pergi.
“Saya fikir positif saja. Setiap sesuatu itu ada hikmahnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di sini, hari ini.
Begitupun, ibu kepada tiga cahaya mata itu enggan mendedahkan identiti individu dimaksudkan.
Dalam masa sama, Che Ta mendedahkan dia sudah bebas hutang kecuali pinjaman perumahan.
“Alhamdulillah semua dah selesai. Sudah tiada apa-apa (kaitan).
“Cuma saya masih ada hutang rumah yang perlu dibayar. Rasanya semua orang pun tidak boleh mengelak dengan komitmen seperti itu,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan berdiam diri yang diambil sejak isu terbabit hangat diperkatakan, Che Ta berkata, kematangan membuatkannya lebih memahami cara untuk menangani setiap isu.
“Saya rasa tak perlu nak tampil atau beri penjelasan kepada sesiapa pun. Saya tak ada masalah dengan orang lain. Jadi saya simpan untuk diri sendiri.
“Cuma mungkin sekarang saya semakin matang dan bila mana membabitkan ahli keluarga, lebih-lebih lagi anak-anak.
“Apabila berhadapan dengan benda begini, Mereka tertanya-tanya bagaimana saya boleh setenang ini.
“Saya hanya mampu cakap, setiap masalah akan ada masa untuk dia berakhir. Allah takkan turunkan ujian itu kalau kita sebagai hamba ini tak dapat nak menanganinya. Saya percaya Allah akan selalu ada,” katanya.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Bagaimanapun aktres itu dipercayai sudah membuat pembayaran sebanyak RM550,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




