puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Filem aksi Chelot arahan pengarah, Adrian Teh menampilkan keunikan tersendiri apabila hampir kesemua babak letupan dan tembakan yang dipaparkan dalam naskhah berkenaan menggunakan kesan praktikal yang sebenar.
Menurut Adrian atau nama sebenarnya Adrian Teh Kean Kok, 41, aksi letupan berskala besar dalam filem berkenaan adalah letupan sebenar yang dihasilkan bagi memberi impak maksimum kepada penonton.
“Hampir semua letupan yang bakal ditonton adalah letupan sebenar. Semua babak tembak-menembak dan letupan ini dirancang dengan sangat terperinci.
“Malah, saiz lubang peluru yang perlu dibuat juga perlu dirancang berdasarkan jenis senjata yang digunakan. Selepas perancangan dibuat, barulah pasukan saya akan memulakan proses menebuk lubang pada kereta dan dinding.
“Selepas ditebuk, mereka akan meletakkan peranti letupan ‘pyro’ sebelum ditutup semula menggunakan simen dan dicat mengikut warna asal. Bagi saya, penggunaan CGI untuk kesan peluru hanyalah kerja pascaproduksi,” katanya pada majlis pelancaran filem berkenaan, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Chelot turut melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘The Longest Single Take Action Sequence in a Movie’ dalam babak aksi yang berdurasi selama lima minit 19 saat yang dirakam secara berterusan tanpa sebarang potongan.
“Ia bermula dari Quill City Mall dan bergerak terus hingga ke tingkat tiga Pertama Kompleks, merangkumi jarak keseluruhan kira-kira 1.9 kilometer.
“Ketika berada dalam fasa persediaan, saya cuba memikirkan bagaimana untuk menjadikan sekuens aksi ini sesuatu yang istimewa. Dari situlah timbulnya idea untuk menghasilkan ‘one long take’,” katanya.
Bagi merealisasikan idea berkenaan, Adrian bersama pasukannya memerlukan masa persediaan selama lima bulan dengan pembabitan seramai 300 tenaga kerja di lokasi penggambaran serta penutupan jalan raya selama tujuh hari.
“Ini merupakan babak paling rumit dan mencabar yang pernah saya buat sepanjang karier saya. Walaupun babak ini sudah sedia rumit, aspek ketelitian dan perancangan terperinci tetap digunakan.
“Memikirkannya sahaja sudah memenatkan, tetapi hasilnya benar-benar berbaloi. Saya tidak boleh melepaskan peluang dan menolak idea untuk bekerjasama dengan Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu salah satu unit pasukan khas paling elit Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami juga mendapat sokongan yang sangat baik daripada PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Disebabkan sokongan padu daripada semua pihak, kami berjaya mencipta sejarah menerusi babak ini,” katanya.
Adrian yang sudah meneroka pelbagai genre filem ini berpendapat perkembangan genre aksi tanah air dapat dilihat dengan jelas menerusi peningkatan filem-filem berkualiti sejak naskhah PASKAL The Movie ditayangkan pada 2018.
“Trend ini memberi motivasi kepada kami sebagai pembikin filem untuk terus menghasilkan filem aksi yang lebih mantap dan berkualiti. Bagi saya, ini adalah persaingan sihat yang sememangnya diperlukan oleh industri kita.
“Semua pembikin filem kini sedang bekerja keras dan memikirkan jalan terbaik untuk menghasilkan babak aksi yang lebih besar, menarik dan segar untuk pasaran tempatan.
“Secara peribadi, selepas menghasilkan filem MALBATT: Misi Bakara pada 2022, saya sendiri tertanya-tanya apa lagi kelainan yang boleh dibawa kepada penonton bagi genre aksi yang mampu membuatkan mereka teruja. Sehinggalah kisah Chelot ini hadir kepada saya tahun lalu,” ujarnya.
Filem yang dibintangi Shaheizy Sam, Shukri Yahya, Beto Kusyairy, Alicia Amin dan Nadhir Nasar ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 27 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




