London: Chelsea mencapai persetujuan bernilai £60 juta (RM348 juta) untuk menandatangani penyerang Brighton & Hove Albion, Joao Pedro, menurut laporan media Britain, awal pagi tadi.
BBC dan Sky Sports melaporkan Pedro dilapor akan menandatangani kontrak selama tujuh tahun.
Penyerang Brazil berusia 23 tahun itu menyertai Brighton dari Watford pada 2023 dan menjaringkan 30 gol serta mencipta 10 bantuan jaringan dalam 70 penampilan sepanjang dua tahun bersama kelab itu.
Pedro dijangka membuat penampilan sulungnya dalam suku akhir Piala Dunia Kelab pada pagi Sabtu menentang Palmeiras di Philadelphia.
Menurut peraturan FIFA, sehingga dua pemain boleh ditambah ke skuad sebelum tarikh akhir Khamis ini.
Penyerang Brazil itu boleh didaftarkan, tetapi seorang lagi pemain baru yang dijangka tiba, Jamie Gittens tidak boleh didaftarkan kerana dia bermain untuk Borussia Dortmund dalam peringkat kumpulan dan kini terikat dengan kelab terdahulu.
Pedro dan Gittens akan menyertai Liam Delap yang menandatangani kontrak awal bulan ini dengan nilai £30 juta (RM174 juta) dari Ipswich Town dalam usaha memperkukuhkan barisan serangan Chelsea dan meningkatkan kemungkinan Christopher Nkunku akan meninggalkan kelab.
Nkunku sebelum ini berharap untuk berpindah ke Bayern Munich pada Januari, tetapi rundingan gagal dan kelab Bundesliga itu masih belum menunjukkan minat semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd