LONDON: Chelsea tidak menghiraukan drama Roman Abramovich menjual kelab itu apabila Kai Havertz memberi inspirasi kemenangan 4-0 mengatasi Burnley manakala pengurus Leeds, Jesse Marsch mengalami kekalahan 1-0 berdepan Leicester pada perlawanan pertamanya.
Peperangan secara tidak langsung memberi kesan kepada Chelsea, dengan pemilik dari Russia, Abramovich mahu menjual kelab di sebalik kebimbangan dia akan berdepan sekatan daripada kerajaan British kerana kaitannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Pelaburan besar Abramovich memberikan mereka 19 trofi utama sepanjang 19 tahun dia di kelab itu termasuk trofi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab di bawa kendalian Thomas Tuchel.
Namun Chelsea berdepan masa depan tidak menentu selepas era Abramovich yang memberikan tekanan buat Tuchel untuk terus membawa pasukan dalam perubahan kepada pemilik baharu.
Layak ke Liga Juara-Juara menjadi amat penting dan pasukan tangga ketiga, Chelsea kekal di landasan selepas mengetepikan Burnley di Turf Moor.
Selepas penyokong Chelsea bersorak nama Abramovich ketika memberi tepukan buat Ukraine, Reece James meletakkan mereka di depan pada minit ke-47.
Havertz menggandakan kelebihan menerusi tandukan hasil hantaran Christian Pulisic lima minit kemudian.
Penyerang Jerman itu yang sekali lagi menggantikan Romelu Lukaku, menjadikan tiga gol dalam sembilan minit apabila menyudahkan hantaran James.
Pulisic menyudahkan gol keempat Chelsea pada minit ke-69 selepas hantaran Saul Niguez terkena lawan.
Kemenangan ketiga berturut-turut Chelsea dalam liga membawa mereka enam mata di belakang pasukan tangga keempat Manchester United.
“Pasukan meningkatkan permainan dan tidak terganggu. Mereka sedia berperang sekali lagi. Ia menunjukkan perwatakan sebenar mereka dan saya bangga dengan mereka,” kata Tuchel.
Sementara itu, Marsch yang dilantik untuk menyelamatkan Leeds daripada penyingkiran selepas menggantikan Marcelo Bielsa.
Namun dia gagal mencetuskan kebangkitan segera apabila jaringan Harvey Barnes memberikan kemenangan pada minit ke-67 buat Leicester. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




