Chelsea sambar Gittens dari Dortmund

Chelsea sambar Gittens dari Dortmund

London: Chelsea meneruskan langkah agresif di jendela perpindahan apabila menyambar pemain sayap sensasi England Bawah 21, Jamie Gittens dari Borussia Dortmund dengan yuran dilaporkan mencecah £48.5 juta (RM365 juta), semalam.

Pemain berusia 20 tahun itu sebenarnya pernah beraksi di akademi Chelsea ketika remaja sebelum berhijrah ke Manchester City dan seterusnya mencipta nama bersama Dortmund sejak 2022.

Gittens membuat 107 penampilan bersama kelab Bundesliga itu dan meledak 17 gol, termasuk 12 jaringan musim lalu dalam saingan Bundesliga serta Liga Juara-Juara.

“Ia satu perasaan luar biasa dapat kembali ke Chelsea. Saya tak sabar untuk belajar daripada semua di kelab ini dan beraksi pada tahap terbaik,” kata Gittens selepas diumumkan sebagai pemain baharu The Blues.

Penyertaan Gittens menjadikan beliau rekrut kelima Chelsea pada musim panas ini selepas membawa masuk Liam Delap, Joao Pedro, Dario Essugo dan Mamadou Sarr, manakala bintang muda Brazil, Estevao Willian turut dijadual menyertai kelab tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Gittens tidak akan disenaraikan dalam skuad untuk separuh akhir Piala Kelab Dunia menentang Fluminense Selasa ini kerana tidak didaftarkan lebih awal.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Lars Ricken menyifatkan perpindahan itu sebagai ganjaran hasil pelaburan awal kelab terhadap bakat muda yang berkembang pesat bersama mereka.

Chelsea kini berdepan tekanan untuk menjual pemain bagi menampung semula perbelanjaan selepas UEFA mengenakan denda €31 juta (RM157 juta) atas pelanggaran peraturan kewangan, selain dikenakan syarat ketat pendaftaran pemain dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top