mhafis@mediaprima.com.my
Ampang Jaya: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan komposer yang juga gitaris yang memukul jirannya di rumah sewa mereka di Pandan Indah sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kertas siasatan sedang dikemas kini dan sebaik dilengkapkan ia akan dirujuk ke TPR dalam tempoh terdekat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan siasatan awal polis mendapati komposer yang juga gitaris yang ditahan polis kelmarin, kerana memukul jirannya sudah beberapa kali berselisih faham dan bertengkar akibat bunyi alat muzik yang bising sehingga mengganggu mangsa.
Mohd Azam berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak berusia 52 tahun itu membuat laporan polis 30 Jun lalu menyatakan pada 6.30 pagi ketika sedang tidur di bilik sewa, dia terjaga dari tidur akibat terdengar bunyi hempasan pintu bilik air.
Menurutnya, seterusnya, kerana tidak berpuas hati, lelaki itu keluar dari biliknya dan menghempas pintu bilik air itu semula.
“Tidak lama kemudian, jiran di sebelah bilik lelaki itu iaitu suspek keluar membawa batang besi dan terus memukulnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




