Cheng Hoe tenang terima berita kematian bapa

Cheng Hoe tenang terima berita kematian bapa

bhsukan@bh.com.my

ALOR SETAR: Abang kepada Tan Cheng Hoe, Tan Cheng Hun berharap abangnya terus cekal dan fokus mengendalikan tugas sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya meskipun kehilangan bapanya yang meninggal dunia, hari ini.

Bapa Cheng Hoe, Tan Chooi Siak, 95 tahun meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 12 tengahari di kediaman Cheng Hun di Taman Pelangi, di sini.

Abang sulung Cheng Hoe itu berkata, berita sedih itu sudah dimaklumkan kepada Cheng Hoe yang kini mengendalikan skuad negara untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

“Ketika kami menghubungi Cheng Hoe, beliau tenang menerima berita sedih ini dan dia berpesan supaya kami dapat mengendalikan urusan berkaitan persemadian,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu Tan Cheng Hoe, Tan Cheng San, 48, pula mahu abangnya terus fokus mengendalikan Harimau Malaya terutama menghadapi misi penting menentang Vietnam malam ini.

“Saya harap dia kuat semangat di sana bersama skuad negara dan semoga dia dapat lakukan yang terbaik untuk negara malam ini,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan mendiang bapanya sebelum meninggal dunia, Cheng Hun memaklumkan bapanya tidak menunjukkan tanda-tanda sakit yang serius, tetapi mengalami masalah penat sebelum membawanya ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

“Selepas membawanya ke klinik dan semasa menunggu kami nampak dia semakin penat dan lebih kurang jam 12 tengah hari tadi dia meninggal dunia di rumah.

“Upacara persemadian akan dilakukan pada hari Selasa iaitu lima hari lagi, jadi Cheng Hoe dijangka tidak sempat untuk pulang ke sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top