China beri jaminan tidak bekal senjata kepada Iran

China beri jaminan tidak bekal senjata kepada Iran
China beri jaminan tidak bekal senjata kepada Iran

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.

WASHINGTON – China memberi jaminan tidak akan membekalkan senjata kepada Iran sepanjang tempoh gencatan senjata semasa konflik di Asia Barat.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, jaminan itu disampaikan secara langsung oleh China susulan kebimbangan Washington terhadap kemungkinan sokongan luar kepada Iran ketika tempoh gencatan senjata yang masih tidak stabil.

“Donald Trump mempunyai hubungan yang kuat dan langsung dengan Presiden China, Xi Jinping, serta mereka telah berkomunikasi mengenai perkara (bantuan) itu.

“China telah memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berlaku,” katanya merujuk kepada laporan kemungkinan penghantaran senjata China ke Iran.

Donald Trump dijadual mengadakan lawatan ke Beijing bagi bertemu Xi Jinping pada 14 hingga 15 Mei ini.

Kedutaan China di Washington bagaimanapun dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai komunikasi antara kedua-dua pemimpin itu, sebaliknya menegaskan bahawa Beijing sentiasa bertindak secara berhemah dan bertanggungjawab dalam eksport peralatan ketenteraan.

Terdahulu, Trump akhirnya terpaksa akur menangguhkan serangan saat akhir dan bersetuju gencatan senjata dua minggu dengan Iran, hanya beberapa jam sebelum tarikh akhir Washington untuk ‘melenyapkan Iran dalam satu malam’.

Teheran di bawah pimpinan Ayatollah Sayyid Mojtaba Khamenei mendakwa menang besar selepas 40 hari perang, malah berjaya memaksa AS ke meja rundingan dengan pelan 10 perkara termasuk penarikan tentera Amerika, penghapusan sekatan, pengiktirafan program nuklear serta kawalan Iran ke atas Selat Hormuz.

Gencatan senjata selama dua minggu itu dijadual tamat minggu depan.

 

Scroll to Top