China cabar pegawai Jepun minum air sisa Fukushima

China cabar pegawai Jepun minum air sisa Fukushima
Tangki yang mengandungi air tercemar dilihat di loji nuklear Fukushima di Okuma pada 2017. (Gambar AP)

BEIJING: China meningkatkan tekanan terhadap perancangan Jepun melepaskan air terawat dari loji nuklear Fukushima ke laut, dengan mencabar pegawai kerajaan meminumnya untuk membuktikan ia selamat.

“Ahli politik Jepun berkata air sisa yang terawat itu ‘bersih’ jadi kenapa tidak mereka minum, masak dan membasuh pakaian dengannya terlebih dulu?” kata jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian di Twitter pada Khamis.

Mengulas kenyataan itu hari ini, Menteri Kewangan Jepun Taro Aso mengelak soalan itu dan berkata tahap pencemaran air dari Fukushima adalah di bawah had garis panduan antarabangsa.

Perancangan Tokyo untuk melepaskan air sisa berkenaan ke Lautan Pasifik diumumkan Selasa dan dikecam hebat China, Taiwan, Korea Selatan serta Korea Utara.

Aso berkata air itu cukup selamat untuk diminum. Jabatan Negara AS membayangkan perancangan Jepun itu seiring tahap amalan antarabangsa.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menyokong perancangan Jepun itu, yang hanya akan dimulakan selepas dua tahun.

Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS bagaimanapun dilaporkan masih mengekalkan sekatan import terhadap beberapa produk makanan dari Fukushima disebabkan kemungkinan tercemar akibat radioaktif, kata laman web wilayah itu.

Sebelum ini sekalipun, sudah ada desakan untuk membuktikan tahap keselamatan air bawah tanah yang mengalir melalui loji Fukushima yang dirosakkan dalam tsunami dan gempa bumi 2011 itu.

Seorang pegawai parti pemerintah pada 2011 minum air diambil dari dalam bangunan reaktor berkenaan di Fukushima Daiichi dalam usaha membuktikan dakwaan kerajaan bahawa usaha dekontaminasi berjalan dengan baik.

Scroll to Top