Istanbul: China berkata pada Isnin bahawa Amerika Syarikat (AS) telah berikrar dalam rundingan perdagangan dua hala untuk mengehadkan tarif gantian yang dikenakan ke atas barangan China tidak melebihi 20 peratus, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Perdagangan China memaklumkan bahawa tarif gantian AS semasa bagi produk China kini berada pada kadar 12.5 peratus, selepas Washington mengumumkan langkah muktamad di bawah siasatan Seksyen 301 berhubung import yang didakwa berkaitan dengan buruh paksa.
Pejabat Wakil Perdagangan AS mengumumkan langkah berkenaan pada 23 Julai, yang mengenakan tarif tambahan ke atas barangan dari 60 ekonomi, termasuk tarif 12.5 peratus ke atas barangan import dari China.
Beijing menentang keras keputusan itu sambil menyifatkan siasatan dan tarif berkenaan sebagai tindakan sebelah pihak sahaja dengan fahaman perlindungan perdagangan.
Kementerian itu berkata Washington berulang kali memberi bayangan bahawa tarif Seksyen 301 akan menggantikan duti yang dikenakan sebelum ini di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), serta surcaj import Seksyen 122, selepas tindakan berkenaan diisytiharkan tidak sah.
“Pihak AS secara jelas memberi komitmen semasa rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS bahawa tarif tambahan gantian ke atas barangan China tidak akan melebihi 20 peratus,” menurut kementerian itu.
Ia berkata tindakan balasnya terhadap pusingan pertama tarif AS berkaitan “fentanyl” serta apa yang dipanggil tarif timbal balik akan kekal berkuat kuasa.
Kementerian itu berkata ia akan terus memantau dan menilai langkah susulan oleh pihak AS serta berhak untuk mengambil sebarang tindakan yang perlu.
Beijing turut menggesa Washington membatalkan tarif sepihak itu dan meneruskan rundingan atas dasar saling menghormati, kesaksamaan serta faedah bersama.
Kenyataan itu menandakan pendedahan terbuka oleh China mengenai had maksimum yang didakwa telah dipersetujui semasa rundingan perdagangan, walaupun AS belum membuat pengumuman secara berasingan berhubung had 20 peratus berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




