Emas Erry, dua final boling padang ceriakan kontinjen Malaysia

Emas Erry, dua final boling padang ceriakan kontinjen Malaysia

Glasgow: Kejayaan atlet angkat berat Erry Hidayat menghadiahkan emas ketiga negara serta kemaraan dua wakil boling padang ke final menyerikan kempen kontinjen Malaysia pada hari keempat Sukan Komanwel Glasgow 2026 hari ini.

Muhammad Erry mencuri tumpuan apabila menjuarai kategori 79 kilogram (kg) lelaki dengan jumlah angkatan 331kg, sekali gus meraih emas sulungnya di pentas Sukan Komanwel selepas membawa pulang perak dalam kategori 73kg di Birmingham 2022.

Atlet berusia 26 tahun itu melakukan angkatan 147kg dalam snatch dan 184kg (clean and jerk), dengan catatan clean and jerk serta jumlah keseluruhannya memperbaharu rekod temasya pada aksi di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

Kejayaan berkenaan turut menyaksikan Erry mengikut jejak bapanya, Hidayat Hamidon, yang pernah memenangi emas angkat berat pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Emas Erry adalah yang ketiga buat kontinjen negara selepas Aniq Kasdan dan Aznil Bidin masing-masing mengungguli kategori 60kg dan 65kg lelaki pada Ahad.

Di SEC, kem boling padang pula menghadiahkan khabar gembira apabila pemain singles lelaki Izzat Shameer Dzulkeple dan pairs wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman masing-masing mengesahkan tempat di final.

Izzat Shameer akan bertemu wakil England Sam Tolchard sementara Aleena-Syafiqa juga akan berdepan wakil England Amy Pharaoh-Sian Honnor dalam final pagi esok.

Sementara itu dalam acara bola keranjang 3×3 lelaki, skuad negara mencipta sejarah mara ke suku akhir pada penampilan sulung mereka di temasya Sukan Komanwel selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua.

Malaysia yang dibarisi Chang Zi Fueng, Chong Zhen Yang, Ting Chun Hong dan Ooi Xian Fu menewaskan Jamaica 21-15 dalam aksi terakhir kumpulan selepas mencatat kemenangan ke atas Fiji, Kenya dan Singapura, selain tewas tipis 19-21 kepada juara bertahan England.

Skuad negara akan bertemu tuan rumah Scotland pada suku akhir esok, dengan pemenang dijadual berdepan Australia di separuh akhir.

Di kolam renang, perenang para Abdul Halim Mohammad menamatkan final 100 meter kuak dada lelaki SB9 di tempat keenam selepas mencatat satu minit 16.41 saat.

Tumpuan esok terarah kepada jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly yang akan turun beraksi dalam acara lompat jauh T20 lelaki, selain dua final melibatkan atlet boling padang yang berupaya memastikan Malaysia mencapai sasaran lima emas seperti ditetapkan sebelum ini.

Malaysia kini mengumpul keseluruhan tiga emas dan dua gangsa untuk menduduki tangga ketujuh carta pungutan pingat Glasgow 2026.

Juara bertahan Australia kekal mendahului dengan 26 emas, 13 perak dan 20 gangsa, diikuti England di tempat kedua (8,13,11) dan Kanada ketiga (7,8,6).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top