China, India, Jepun bayar yuran transit kepada Iran

China, India, Jepun bayar yuran transit kepada Iran
China, India, Jepun bayar yuran transit kepada Iran

Negara-negara berkenaan tidak mengendahkan amaran AS.-Agensi

ISTANBUL – Beberapa negara termasuk China, India dan Jepun dilaporkan terus membayar yuran transit kepada Iran untuk melalui Selat Hormuz, sekali gus masih membeli minyak dari negara itu walaupun berdepan sekatan Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Iran, Jafar Qadiri, yang juga Timbalan Ketua Jawatankuasa Ekonomi Parlimen, seperti dipetik agensi berita ICANA.

Menurut beliau, perkembangan tersebut menunjukkan permintaan antarabangsa terhadap tenaga Iran masih kekal tinggi meskipun tekanan dan sekatan semakin meningkat.

Washington sebelum ini dilaporkan memberi amaran bahawa mana-mana negara yang membayar yuran transit kepada Iran bagi melalui Selat Hormuz boleh berdepan sekatan keras.

“Namun kita melihat pelbagai negara tetap membayar yuran ini dan terus membeli minyak serta produk petroleum Iran tanpa mengendahkan sekatan Rumah Putih,” katanya.

Qadiri turut mendakwa eksport minyak Iran terus memasuki pasaran global walaupun berdepan sekatan ekonomi dan sekatan maritim.

Isu status Selat Hormuz kekal menjadi antara pertikaian utama antara Teheran dan Washington dalam rundingan yang berlangsung di Islamabad, Pakistan.

Gencatan senjata dilaporkan dicapai pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, diikuti rundingan pada 11 hingga 12 April, namun tiada persetujuan dicapai.

Walaupun tempoh gencatan senjata pada awalnya dijadual tamat hujung April, ia dilanjutkan oleh Presiden AS, Donald Trump ketika usaha diplomatik diteruskan.

Iran sebelum ini menegaskan semua kapal yang melalui laluan strategik itu perlu membayar yuran transit, dengan cadangan undang-undang bagi memformalkan dasar tersebut sedang dibahaskan di Parlimen.

Sejak 13 April, AS dilaporkan melaksanakan sekatan maritim terhadap pergerakan kapal Iran di Selat Hormuz.-Agensi

Scroll to Top