New Delhi: Pemain tenis lelaki nombor satu India, Sumit Nagal, mendedahkan China menolak permohonan visanya beberapa minggu sebelum dia dijadualkan beraksi pada kejohanan kelayakan Terbuka Australia di wilayah Sichuan, barat daya China.
“Saya sepatutnya terbang ke China tidak lama lagi untuk mewakili India dalam aksi playoff Terbuka Australian. Tetapi visa saya ditolak tanpa sebarang alasan,” kata Nagal, 28, dalam hantaran di platform media sosial X.
Nagal kini berada di kedudukan 275 dunia. Dia mewakili India pada Olimpik Tokyo dan Paris serta pernah mencapai ranking tertinggi kerjaya di tempat ke-68 pada 2024.
Dia tewas pada pusingan pertama Terbuka Australia awal tahun ini dan pusingan kedua pada 2024 dalam dua penyertaan terdahulu di Melbourne Park.
Aksi playoff Terbuka Australian Asia-Pacific Wildcard akan berlangsung selama seminggu bermula 24 November, dengan pemenang bakal mendapat tiket ke Grand Slam pembukaan 2026 di Melbourne.
Penganjur kejohanan berkata pemain perlu menghubungi konsulat China untuk maklumat mengenai keperluan visa dan boleh meminta surat jemputan. Penganjur tidak memberi sebarang maklum balas kepada AFP bagi ulasan lanjut.
Apabila ditanya mengenai penolakan visa Nagal, kementerian luar China berkata pada Khamis bahawa pihaknya “mengharapkan individu terbabit menyerahkan dokumen permohonan mengikut kehendak kedutaan China di India.
“China, mengikut peraturan dan undang-undang, akan menyemak dan mengeluarkan visa untuk semua atlet termasuk atlet India yang datang bertanding di China,” kata jurucakap kementerian, Lin Jian.
AFP turut meminta ulasan daripada ejen Nagal.
India dan China, yang berkongsi sempadan Himalaya yang menjadi pertikaian, baru-baru ini menyambung penerbangan terus selepas penggantungan selama lima tahun akibat pandemik dan ketegangan geopolitik.
Kedua-dua negara yang mempunyai populasi terbesar di dunia ini masih bersaing dari segi pengaruh serantau, namun hubungan mulai penas sejak pertembungan sempadan yang membawa maut pada 2020.
© New Straits Times Press (M) Bhd




