CIGO perlu terus perkasa agenda integriti organisasi – SPRM

CIGO perlu terus perkasa agenda integriti organisasi – SPRM

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Unit Integriti dan Governans (CIGO) disaran untuk terus memperkasakan peranan mereka sebagai peneraju utama agenda integriti dan amalan tadbir urus yang baik dalam organisasi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, peranan CIGO amat signifikan kerana mereka bertindak sebagai penghubung strategik antara dasar, tatakelola dan pelaksanaan di peringkat organisasi.

“Tanggungjawab ini menuntut kepekaan, kebijaksanaan serta keupayaan untuk menilai risiko, memberi nasihat yang tepat dan memastikan nilai integriti diterapkan dalam budaya kerja harian,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat CIGO Siri 8 Bilangan 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Mesyuarat yang diadakan secara hibrid itu dihadiri oleh lebih 100 pegawai.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Saiful Hazmi Mohd Saad; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Lim Bee Kean, serta barisan Pengarah Bahagian SPRM yang lain.

Bagi memperkukuh amalan integriti dalam sektor korporat, Azmi menyeru lebih banyak agensi dan syarikat untuk menyertai Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), sama ada menerusi penyertaan terbuka atau pelaksanaan secara dalaman (in-house).

Menurutnya, setakat Disember 2025, sebanyak 247 Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) telah menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU), yang membuktikan komitmen berterusan sektor korporat dalam mencegah jenayah rasuah.

“Program CeIO terus mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai sektor.

“Sehubungan itu, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC) telah menambah tenaga kerja bagi membolehkan penambahan antara satu hingga tiga program baharu pada tahun ini,” katanya.

Menyentuh mengenai sokongan kerajaan, beliau memaklumkan bahawa pelbagai insentif telah disediakan bagi memacu agenda antirasuah organisasi.

“Ini termasuk kemudahan potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi kos pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan program integriti bersama komuniti (CSR).

“Selain itu, potongan cukai di bawah Subseksyen 34(6)(ma) akta sama turut boleh dituntut bagi perbelanjaan mendapatkan pengiktirafan pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) melalui Jabatan Standard Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan CIGO agar memaksimumkan penggunaan Sistem Pelaporan Unit Integriti Agensi (AIMS) yang dibangunkan sejak 2021 bagi meningkatkan kecekapan pemantauan dan keberkesanan pelaksanaan program integriti.

Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan sesi perkongsian amalan terbaik oleh Petronas mengenai pendekatan pragmatik mereka dalam menangani rasuah dan jenayah kewangan melalui pembangunan Suspicious Activity Indicator.

Azmi menyifatkan pendekatan proaktif Petronas itu wajar dijadikan contoh dan penanda aras oleh semua CIGO dalam usaha membina organisasi yang telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top