saufi@mediaprima.com.my
Pengeluar cip mudahalih terkemuka, Qualcomm sekali lagi mengukuhkan dominasinya dalam pasaran cip mudah alih apabila memperkenalkan generasi Snapdragon 8 Gen 5.
Cip berkenaan menampilkan platform premium yang direka untuk membawa prestasi, kepintaran dan pengalaman peranti ke tahap lebih tinggi.
Ia bukan sekadar naik taraf generasi, ia langkah strategik Qualcomm untuk menjadikan telefon pintar sebagai rakan digital yang lebih intuitif dan responsif.
Snapdragon 8 Gen 5 kini berada dalam kelompok peringkat premium, ditawarkan sebagai pilihan baharu buat pengeluar telefon pintar global yang mahu membawa ciri kelas perdana kepada pengguna lebih meluas.
Antara jenama yang akan menggunakannya dalam peranti terawal ialah OnePlus, Motorola, Vivo dan iQOO.
Nadi utama cip baharu ini ialah Qualcomm Oryon CPU, binaan khusus yang mampu mencapai kelajuan sehingga 3.8GHz.
Menurut Qualcomm, ia membawa peningkatan prestasi 36 peratus berbanding generasi sebelumnya, serta responsiviti web 76 peratus lebih pantas.
Buat pengguna, ini bermaksud aplikasi terbuka hampir serta-merta, kepelbagaian tugas lebih lancar dan pengendalian kerja berat jadi lebih efisien.
Dipadankan pula dengan Unit Pemproses Grafik (GPU) Adreno yang menggunakan seni bina ‘sliced architecture’, prestasi grafik meningkat 11 peratus, menjadikan pengalaman bermain game AAA mudah alih lebih stabil dan bertenaga.
Ciri paling menonjol Snapdragon 8 Gen 5 ialah kebolehan AI atas peranti yang lebih matang.
Melalui Hab Penderiaan Qualcomm, telefon kini boleh ‘bangun’ hanya apabila pengguna mengangkatnya, memahami gerak, suara dan konteks secara lebih pintar.
Menyentuh teras, Hexagon NPU generasi baharu menawarkan 46 peratus peningkatan prestasi, membolehkan pembantu AI bertindak sebagai ‘agentic AI assistant’ memberi cadangan peribadi, memahami rutin, malah bertindak sebelum pengguna meminta.
Naib Presiden Kanan Qualcomm, Chris Patrick berkata, Snapdragon 8 Gen 5 adalah jawapan kepada permintaan dunia terhadap telefon premium yang benar-benar pintar, bukan sekadar laju.
“Kami meletakkan pengguna sebagai pusat pengalaman, memberi mereka kepantasan, kecerdasan dan kecekapan untuk membuka potensi penuh kreativiti mereka,” katanya.
Penggunaan keupayaan AI yang lebih mendalam, prestasi CPU yang agresif dan grafik yang lebih berkuasa, cip ini dijangka menjadi tulang belakang generasi baharu telefon kelas perdana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




