Citrawarna Speed Festival: Sukan permotoran tarikan baharu pelancongan

Kuala Lumpur: Tourism Malaysia menyasarkan tarikan sukan permotoran sebagai platform untuk menarik lebih ramai pelawat antarabangsa menerusi penganjuran Citrawarna Speed Festival 2026, selain memperkenalkan pengalaman budaya Malaysia yang unik dan kaya kepada pelancong.

Dalam kenyataannya hari ini, Tourism Malaysia berkata, festival yang berlangsung dari 23 September hingga 4 Oktober itu menggabungkan kebudayaan Malaysia dengan keterujaan sukan permotoran dunia, selain menawarkan pelbagai pameran, tarikan berinspirasikan sukan permotoran dan pengalaman interaktif kepada orang ramai.

“Usaha ini selari dengan prestasi positif sektor pelancongan negara apabila Malaysia merekodkan 21.1 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, meningkat 2.5 peratus berbanding 20.6 juta ketibaan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Penganjuran acara berasaskan pengalaman seperti ini diharap dapat terus memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan gabungan unik antara sukan, hiburan dan kepelbagaian budaya,” katanya.

Tourism Malaysia berkata, penganjuran itu adalah sebahagian daripada Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027) dan akan berlangsung di beberapa lokasi terpilih termasuk IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Sama-Sama.

Festival itu menampilkan dua komponen utama iaitu Colours of Speed dan Colours of Art & Culture, di samping pelbagai aktiviti sampingan yang dijadualkan di semua lokasi terbabit.

Menerusi Colours of Speed, pengunjung berpeluang menerokai pelbagai pameran yang diinspirasikan daripada dunia sukan permotoran serta pengalaman interaktif yang menarik.

Selain itu, festival itu turut mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia menerusi Colours of Art & Culture yang menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, muzik dan tarian, di samping pameran kraf tangan serta aktiviti interaktif yang mencerminkan keunikan tradisi dan komuniti dari seluruh negara.

Tourism Malaysia berkata, kemuncak program kebudayaan ialah Colours of Parade yang menghimpunkan 1,500 penari dan penggiat seni budaya dari seluruh Malaysia, dengan perarakan yang menampilkan muzik tradisional, tarian dan busana berwarna-warni.

Penganjuran festival ini disokong rakan strategik termasuk Yes Travel & Holidays Sdn Bhd, IOI Properties, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya, Kraftangan Malaysia, Hotel Sama-Sama, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), SNS Network, SDeal Malaysia Sim Racing & Motorsport dan HP.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top