hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua syor penambahbaikan tatakelola dibentangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung pengurusan bantuan selenggara dan naik taraf Institusi Pendidikan Islam swasta.
Penyiasatan tatakelola oleh SPRM Johor itu memberi tumpuan terhadap sistem, amalan dan tatacara peruntukan khas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang digunakan bagi penyelenggaraan dan menaik taraf Institusi Pendidikan Islam swasta.
Ia termasuk sekolah agama Islam, institusi tahfiz, institusi pondok atau madrasah dan institusi yang melaksanakan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bukan di premis Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau kerajaan yang berdaftar dengan pemegang taruh masing-masing yang diuruskan oleh JAINJ.
Syor dicadangkan meliputi penambahbaikan ke atas Borang Pemantauan Institusi Pendidikan Islam Swasta/SAKJ Negeri Johor serta mewajibkan lawatan tapak oleh Pegawai Unit Pembangunan dan Penyelenggaraan JAINJ serta pegawai (wakil) dari Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) khususnya selepas kerja selenggara dan naik taraf selesai dilaksanakan oleh pihak kontraktor.
Syor itu dibentangkan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid di Pejabat JAINJ, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim, berkata, pengukuhan tadbir urus dan mekanisme kawalan yang lebih sistematik mampu meningkatkan kebertanggungjawaban serta akauntabiliti semua pihak yang terbabit termasuk kontraktor, pemilik Institusi Pendidikan Islam (IPI), PPID dan Unit Pembangunan dan Penyelenggaraan JAINJ.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pengurusan JAINJ, Abu Bakar Mohamed Salleh, menyambut baik dua syor berkenaan dalam usaha meningkatkan kebertanggungjawaban dan akauntabiliti semua pihak yang terbabit.
Pada sesi itu, beliau menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola disaksikan oleh Hairuzam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
