London: Manchester City didenda lebih £1 juta (RM5.73 juta) oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana kelewatan sepak mula dalam sembilan perlawanan musim lalu.
Pegawai EPL mengumumkan semalam, pasukan kendalian Pep Guardiola melanggar peraturan berkaitan masa sepak mula dan sambungan permainan antara Oktober hingga Februari.
Kelewatan paling lama berlaku sebelum separuh masa kedua Derby Manchester di Old Trafford pada Disember, yang tertangguh selama dua minit 24 saat.
EPL menyatakan City telah mengakui kesalahan mereka dan memohon maaf atas insiden tersebut.
Jumlah keseluruhan denda adalah sebanyak £1.08 juta (RM6.2juta).
“Peraturan berkaitan sepak mula dan sambungan semula perlawanan bertujuan memastikan penganjuran pertandingan berada pada tahap profesional tertinggi dan memberikan kepastian kepada peminat serta kelab yang terlibat,” menurut kenyataan EPL.
“Ia juga memastikan penyiaran setiap perlawanan EPL berjalan mengikut jadual.”
Ini bukan kali pertama City berdepan tindakan disiplin kerana kelewatan sepak mula.
Tahun lalu, kelab itu turut didenda lebih £2 juta (RM11.48 juta) kerana 22 pelanggaran terhadap peraturan yang sama.
Skuad Guardiola menamatkan musim lalu di tempat ketiga EPL, sekali gus menamatkan penguasaan mereka sebagai juara selama empat musim berturut-turut.
City juga mengalami kekalahan mengejut dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Crystal Palace, dan kini sedang beraksi dalam Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat.
© New Straits Times Press (M) Bhd



