City tanpa Rodri lawan Everton

City tanpa Rodri lawan Everton

Manchester: Manchester City menerima tamparan hebat apabila bakal turun tanpa pemenang Ballon d’Or, Rodri, ketika menentang Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, esok.

Pengurus City, Pep Guardiola, mengesahkan tonggak tengah itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialami ketika kemenangan 1-0 ke atas Brentford pada 5 Oktober lalu.

“Tiada berita baharu. Rodri belum bersedia untuk beraksi esok,” kata Guardiola pada sidang media, hari ini.

“Saya sendiri tidak pasti bila dia akan kembali.”

City yang kini di tangga kelima liga dengan 15 mata, tiga mata di belakang pendahulu, Arsenal, perlu mencari jalan untuk mengekalkan momentum memburu kejuaraan tanpa kelibat pemain tengah utama itu.

Bagaimanapun, Guardiola turut menerima khabar gembira apabila Rayan Ait Nouri dan Omar Marmoush kembali menjalani latihan penuh selepas kedua-duanya berehat panjang akibat kecederaan sejak Ogos lalu.

“Keadaan mereka jauh lebih baik dan hampir cergas sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic, dijangka membuat penampilan pertamanya musim ini selepas pulih daripada pembedahan tendon Achilles dan beraksi ketika kemenangan Croatia menewaskan Gibraltar minggu lalu.

“Dia perlu berikan kami kualiti dan masa permainan yang baik. Langkah demi langkah, tapi kehadirannya semula sangat penting,” kata Guardiola.

City bagaimanapun tidak dapat menurunkan Jack Grealish yang kini dipinjamkan ke Everton kerana klausa larangan menentang kelab asal.

Guardiola tidak menafikan terkesan dengan prestasi cemerlang pemain itu bersama The Toffees.

“Impaknya sangat besar sejak hari pertama di Everton. Dia bermain dengan baik, itulah yang dia mahu. Jack pemain hebat dan saya gembira dia kembali menunjukkan prestasi sebenar,” katanya.

Dalam masa sama, Guardiola turut memuji ketajaman Erling Haaland yang sudah menjaringkan 21 gol untuk kelab dan negaranya musim ini, termasuk hatrik ketika Norway membelasah Israel 5-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

“Dia berada di tahap terbaik sekarang, tetapi sukar untuk mengekalkan prestasi sebegitu setiap minggu,” ujar Guardiola.

“Apabila prestasinya menurun nanti, kami akan tetap bersamanya. Yang penting kami terus bantu dia kekal konsisten.”

Norway kini mendahului Kumpulan I kelayakan Piala Dunia 2026, tiga mata di depan Itali, dan berpeluang menempah tiket ke kejohanan di Amerika Syarikat bulan depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top